MIC perlu pemimpin muda berwibawa, kata Vigneswaran


SA Vigneswaran berkata dalam usaha meremajakan MIC, pemimpin muda haruslah dalam kalangan mereka yang memahami arena politik dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2023.

MIC memerlukan pemimpin muda berwibawa yang mampu membantu memperkukuhkan lagi parti, kata presidennya SA Vigneswaran.

Beliau berkata dalam usaha meremajakan parti, pemimpin muda yang diperlukan haruslah dalam kalangan mereka yang memahami arena politik dengan baik.

“Dalam sistem parti, kita tidak boleh semata-mata membawa (masuk) seseorang dan (kemudian) melantik (mereka)... kita mahu generasi muda yang lebih berwibawa. Kita kena tengok dalam semua aspek (kerana) pemimpin muda yang akan mengambil alih parti ini juga perlulah (pemimpin yang boleh) mengeratkan silaturahim (sesama) ahli,” katanya.

Vigneswaran berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan Ke-77 di Seremban hari ini yang turut dihadiri timbalannya M Saravanan dan pengerusi MIC negeri VS Mogan.

Sementara itu, beliau berkata bagi memastikan MIC terus kekal relevan, semua cawangan parti itu di seluruh negara perlulah diperkasakan dengan menambah keahlian baharu sekali gus akan memperkuat bahagian. – Bernama, 21 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen