MIC tidak puas hati disisihkan dalam BN, kerajaan, kata Vigneswaran


Kalidevi Mogan Kumarappa

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata PM sepatutnya menimbangkan satu jawatan menteri dalam kabinetnya kepada komponen BN dan tidak hanya kepada Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Ogos, 2023.

MIC tidak berpuas hati dengan kedudukannya yang disisihkan sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), sejak gabungan itu membentuk kerajaan bersama mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kata presidennya SA Vigneswaran.

Katanya, Anwar sepatutnya menimbangkan satu jawatan menteri dalam kabinetnya kepada komponen BN dan tidak hanya kepada Umno.

Vigneswaran juga mendakwa pengerusi Ahmad Zahid Hamidi pernah memberitahunya yang MIC akan dipertimbangkan untuk jawatan dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi itu tidak berlaku sampai sekarang.

“Tiada jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) diberikan. Bukannya kami mahu jawatan kerajaan, ia mengenai rasa hormat.

“MIC sudah lama (dalam BN). Kami bersama BN selama ini. Kami hanya ikut ‘abang’ kami (Umno).

“Kami hanya mahu satu jawatan menteri dan satu jawatan exco di negeri tertentu,” katanya, pada majlis pertemuan pemimpin parti itu dengan Anwar di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Jelas Vigneswaran, apabila tidak diberi sebarang jawatan, MIC seolah-olah dianaktirikan dalam kerajaan perpaduan.

Zahid turut hadir mengiringi perdana menteri ke pertemuan itu, yang disertai pemimpin MIC dari seluruh negara.

Vigneswaran yang mengakui tidak menjangka kehadiran Zahid beberapa kali dilihat berhenti membaca teks ucapannya, dipercayai menapis kandungan ucapannya.

“Apabila saya nampak Zahid, saya tak boleh bercakap. Saya menjangkakan dia tidak datang,” katanya. 

Dalam ucapannya, Vigneswaran juga secara terbuka berkata beliau lebih percaya kepada Anwar tetapi “tidak boleh percaya” pemimpin lain.

“Selama ini, melalui Majlis Tertinggi MIC kami meminta pemimpin akar umbi untuk terus kerja untuk BN dan di sebelah sini, apabila kami masih tidak diberi sebarang kerusi, saya mungkin tidak akan menjadi presiden parti tahun hadapan.

“Tetapi, saya menjelaskan kepada semua yang perdana menteri sudah memberi jaminan akan menyelesaikan masalah komuniti India dalam tempoh masa setahun ini.

“Saya percaya kepada tuan (Anwar) kerana saya tidak boleh mempercayai orang lain,” katanya.

Pertemuan hari ini diadakan selepas MIC merungut tidak puas hati dengan rundingan agihan kerusi untuk pilihan raya negeri di enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

MIC sebelum ini memutuskan untuk tidak mencalonkan mana-mana ahlinya dalam PRN.

Semalam, Zahid menafikan dakwaan ada suasana tidak harmoni antara komponen parti dalam BN sehingga memaksa perdana menteri campur tangan. – 2 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen