SELESEMA burung dikesan di rantau Antartika buat pertama kali, menurut pakar Britain, menimbulkan kebimbangan virus maut itu boleh menimbulkan ancaman kepada penguin dan spesies tempatan yang lain.
Para saintis bimbang wabak Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) yang paling teruk dalam sejarah akan sampai ke Antartika, tempat pembiakan utama bagi banyak burung.
British Antarctic Survey berkata kakitangannya mengambil sampel daripada burung laut skua coklat selepas ia mati di Pulau Burung di Georgia Selatan, wilayah luar Britain di timur hujung Amerika Selatan dan utara daratan utama Antartika.
Ujian dihantar ke Britain dan didapat positif, kata institut penyelidikan kutub UK dalam satu kenyataan pada Isnin.
Virus itu berkemungkinan besar dibawa oleh burung yang pulang dari penghijrahan mereka ke Amerika Selatan, dengan terdapat sejumlah besar kes selesema burung, tambahnya.
Pelawat ke Georgia Selatan dan Kepulauan Sandwich Selatan berada di bawah langkah biosekuriti yang dipertingkatkan, dan kerja lapangan saintifik melibatkan burung di sana dihentikan, kata kenyataan itu.
Terdapat wabak selesema burung biasa sejak virus itu mula-mula muncul pada 1996.
Sejak pertengahan 2021, wabak lebih besar mula merebak ke selatan ke kawasan yang sebelum ini tidak tersentuh termasuk Amerika Selatan, yang membawa kepada kematian besar kumpulan burung liar dan puluhan juta ayam dimusnahkan.
Michelle Wille, pakar selesema burung di Universiti Melbourne, berkata penyebaran selesema burung ke rantau Antartika adalah “berita mengejutkan”.
“Keadaan boleh berubah dengan cepat,” tulisnya di X.
Ian Brown, ketua virologi di Agensi Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan UK, memberi amaran minggu lalu terdapat risiko burung yang berhijrah boleh menyebarkan virus dari Amerika Selatan ke pulau Antartika dan kemudian ke tanah besar.
Ini boleh menjadi “kebimbangan sebenar” bagi populasi burung seperti penguin yang unik di Antartika, katanya kepada wartawan.
Burung seperti penguin yang tidak pernah terdedah kepada virus sebelum ini tidak akan mempunyai imuniti, yang berpotensi menjadikan ia lebih terdedah.
Dalam berita yang lebih baik, Agensi Kesihatan Tumbuhan Haiwan juga berkata minggu lalu penyelidikan awal mengesahkan populasi dua burung laut - gannet utara dan shag - menunjukkan imuniti terhadap selesema burung.
Manusia jarang dijangkiti selesema burung, tetapi apabila terkena biasanya melalui sentuhan langsung dengan burung yang dijangkiti.
Awal bulan ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja, kematian ketiga direkodkan di negara itu tahun ini.
Virus itu juga semakin banyak dikesan di kalangan mamalia, menimbulkan kebimbangan ia boleh bermutasi menjadi versi lebih mudah ditularkan kepada manusia. – AFP, 25 Oktober, 2023.
Komen