Korea Selatan rancang bina pangkalan penyelidikan di Antartika


Korea Selatan kini mempunyai dua stesen penyelidikan dan merancang untuk membina stesen ketiga menjelang 2030 selepas memilih tapak yang sesuai dijangka pada 2027. – Gambar EPA, 22 November, 2022.

KOREA Selatan merancang membina stesen penyelidikan di Antartika menjelang 2030 sebagai langkah berkesan dalam tindak balas terhadap perubahan iklim dan menerajui penyelidikan global di rantau yang kurang dikenali itu.

Di bawah pelan komprehensif yang bertujuan mempromosikan aktiviti kutub, kerajaan juga memutuskan untuk membina pemecah ais generasi akan datang bagi menerajui projek penyelidikan global di Lautan Artik, lapor Yonhap memetik Kementerian Lautan dan Perikanan.

Langkah itu julung kali diambil Korea Selatan berhubung penerokaan zon kutub dan diluluskan Kabinet pada Selasa. 

Korea Selatan kini mempunyai dua stesen penyelidikan Antartika—Stesen King Sejong yang dibina pada 1988 di Pulau King George dan Stesen Jang Bogo yang ditubuhkan pada 2014 di Teluk Terra Nova—dan merancang untuk membina stesen ketiga menjelang 2030 selepas memilih tapak yang sesuai dijangka pada 2027.

Pembinaannya kelak menjadikan ia stesen di kawasan pedalaman pertama dan keenam di dunia di Kutub Selatan. Terdapat lima pangkalan penyelidikan Antartika yang dikendalikan Amerika Syarikat, Rusia, Jepun dan China, serta satu bersama oleh Perancis dan Itali.

Korea Selatan juga merancang membina kapal penyelidikan pemecah ais seberat 15,000 tan menjelang 2026 dengan peruntukkan 277.4 bilion won (AS$204.41 juta) yang dijangka membantu negara itu mengetuai projek bersama dalam meneroka Kutub Utara.

Ia bertujuan membangunkan kapal kontena pemecah ais mesra alam untuk membantu memastikan navigasi yang selamat di laluan Kutub Utara dan menjalankan pelbagai projek pengubatan dengan menggunakan sumber hidup di sana, menurut kementerian itu.

Pelan itu juga turut melibatkan pembangunan satelit ultra kecil untuk memerhatikan glasier yang mencair di kawasan kutub dan senario perubahan paras laut.

Korea Selatan meningkatkan kerjasama dengan lapan negara Artik termasuk AS, Kanada dan Iceland, melalui pelbagai projek sesuai selain berganding bahu dengan perniagaan serta institut penyelidikan di negara sendiri.

“Kami akan melaksanakan rancangan asas untuk mencari penyelesaian bagi bertindak balas terhadap perubahan iklim dan untuk membangunkan teknologi baharu yang canggih,” kata menterinya Cho Seung-hwan. – Bernama, 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen