Vaksin koronavirus sampai di Antartika


Pegawai perubatan tiba dengan vaksin Covid-19 di Pangkalan Udara Antartika Presiden Eduardo Frei Montalva, Antartika Chile, pada 14 Mac. – Gambar EPA, 18 Mac, 2021.

VAKSIN koronavirus sampai ke Antartika selepas Chile mengimunisasi 49 orang di benua itu, kata tentera udara negara Amerika Selatan itu pada Rabu.

Program imunisasi Chile menerima banyak pujian kerana pihak berkuasa berjaya memvaksin 5 juta orang - hampir satu pertiga daripada populasi - sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dan pada Ahad, pihaknya bahkan mulai mengimunisasi anggota angkatan bersenjata dan penyelidik saintifik yang ditempatkan di pangkalan udara Presidente Eduardo Frei Montalva di Antartika, dengan 53 orang lagi di pangkalan itu akan menerima dos pertama mereka dalam beberapa hari akan datang.

Tiada seorang pun daripada mereka yang diberi vaksin, semua berusia antara 25 hingga 58 tahun, menunjukkan reaksi alahan, kata Victor Videla, doktor yang bertanggungjawab untuk program imunisasi itu kepada AFP.

Mereka yang ditempatkan di dua pangkalan Chile lain di Antartika dijangka menerima dos pertama tetapi ditangguhkan disebabkan keadaan cuaca buruk, kata Videla.

Antartika adalah salah satu tempat terakhir di dunia yang terkena virus, tetapi pada 21 Disember, wabak dilaporkan di pangkalan tentera Chili, dengan 36 orang dijangkiti.

Bagi melindungi benua itu, semua kunjungan pelancong ke Antartika dibatalkan, kakitangan tidak penting dipindahkan dan kontak antara 40 pangkalan antarabangsa di kawasan itu dilarang. – AFP, 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen