Gaza perlukan doa anda, kata rakyat Palestin di Malaysia


Alfian Z.M. Tahir

Rakyat Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka sebagai solidariti mereka terhadap rakyat Palestin yang ditindas di Gaza. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Oktober, 2023.

SERANGAN peluru berpandu Israel yang berterusan di Gaza menyebabkan rakyat Palestin di Malaysia menunggu dengan cemas untuk mengetahui nasib orang tersayang di tanah air mereka.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berkata telah terputus hubungan dengan keluarga mereka lebih dari seminggu berikutan bekalan elektrik dan perkhidmatan internet terputus.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, secara rasminya terdapat kira-kira 580 rakyat Palestin di negara ini.

Bagaimanapun, angka itu mungkin lebih tinggi kerana ia merangkumi pelajar dan orang lain yang berada di sini tetapi tidak berdaftar dengan mana-mana kumpulan atau agensi kerajaan.

Lebih 4,600 rakyat Palestin terbunuh sejak dua minggu lalu di Gaza, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas, dan Israel mengumumkan pada hujung minggu ia sedang meningkatkan serangan udara.

Seorang pelajar Universiti Malaya dari Gaza berkata dia amat bimbang dengan keluarganya di tanah air.

Omar Hassouna berkata ahli keluarganya terperangkap di dalam rumah mereka dengan makanan dan air yang boleh diminum yang terhad.

Pelajar pascasiswazah kejuruteraan itu berkata rumah keluarganya belum lagi menjadi sasaran bom tetapi menambah risikonya adalah tinggi.

“Hospital tempat saya dilahirkan telah dibom beberapa hari lalu. Tiada bekalan elektrik, tiada air, tiada sebarang bantuan di Gaza.

“Keluarga saya masih berada di dalam rumah, tidak boleh keluar atau ke mana-mana. Setakat ini, mereka selamat.

Ribuan rakyat Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka mengibarkan bendera Palestin membantah kekejaman Israel.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Oktober, 2023.

“Tiada cara untuk saya berkomunikasi dengan mereka. Saya tidak boleh menghubungi mereka atau menghantar mesej kepada mereka kerana akses internet terganggu. Saya cuba menggunakan talian tetap telefon tetapi sukar juga untuk menghubungi mereka.

“Apa yang saya minta daripada rakyat Malaysia ialah mendoakan keselamatan kami,” kata Omar yang menetap di Malaysia sejak 2017.

Rakan Omar, Ahmed Shatt, menyuarakan perasaannya.

Bagaimanapun, Ahmed mendedahkan bapa serta ibunya telah dipaksa meninggalkan rumah mereka selepas Israel mengeluarkan amaran kepada orang awam untuk mengosongkan kediaman mereka.

“Mereka telah meninggalkan rumah kami dan mereka kini berlindung di rumah nenek saya. Bagaimanapun Israel baru sahaja menyuruh mereka berpindah kerana akan ada bom.

“Ke mana mereka sepatutnya pergi? Mereka tidak ada tempat untuk pergi sekarang. Untuk menghubungi mereka juga adalah satu cabaran kerana tiada sambungan internet. Anda perlu menghubungi mereka banyak kali menggunakan talian tetap,” katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk membantu krisis itu, Ahmed berkata rakyat Palestin lebih mengutamakan doa berbanding dana.

“Kami tidak perlukan wang tunai atau wang. Kami perlukan doa anda, itu sahaja yang penting. Doakan keselamatan dan kesejahteraan kami. Doakan agar anak-anak kami terus hidup dan dapat pergi ke sekolah dengan selamat,” tambahnya. – 24 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen