Penunjuk perasaan berarak di Paris bantah kenaikan kos sara hidup


Ribuan penunjuk perasaan berarak di Paris hari ini bagi membantah dan menunjukkan kekecewaan terhadap kenaikan kos sara hidup. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2022.

TIGA minggu selepas mogok kilang penapisan minyak yang menyebabkan kekurangan bahan api di seluruh Perancis, beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di Paris hari ini bagi membantah dan menunjukkan kekecewaan terhadap kenaikan kos sara hidup.

Demonstrasi itu diadakan oleh pembangkang politik berhaluan kiri dan diketuai oleh ketua parti France Unbowed (LFI), Jean-Luc Melenchon.

Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata beberapa kali selepas mereka dibaling dengan objek.

Beberapa penunjuk perasaan memakai baju keselamatan berwarna kuning, simbol protes anti-kerajaan yang sering berlaku ganas pada 2018 yang menggegarkan kerajaan pro-perniagaan Presiden Emmanuel Macron.

Melenchon juga menggesa mogok umum pada hari Selasa.

Penganjur mendakwa 140,000 orang menghadiri perarakan semalam tetapi polis berkata terdapat 30,000 orang peserta.

Mogok dan protes sedang diawasi dengan teliti oleh kerajaan yang bertujuan untuk meluluskan perubahan yang sangat kontroversial kepada sistem pencen dalam beberapa bulan akan datang.

Macron yang memenangi pemilihan semula pada April berjanji untuk menolak umur persaraan daripada 62 tahun dengan pembaharuan dijadualkan sebelum akhir musim sejuk.

“Saya benar-benar bimbang,” kata seorang ahli Parlimen parti pemerintah kepada AFP minggu lalu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan. 

“Kita perlu mencari laluan antara keperluan untuk pembaharuan dan fakta bahawa orang ramai gusar dan letih,” katanya.

Beberapa kesatuan Perancis mengisytiharkan tarikh itu sebagai hari kebangsaan mogok yang menyasarkan pengangkutan jalan raya, kereta api dan sektor awam. – 17 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen