Persatuan pelajar terus protes jika kerajaan gagal tangani isu kos sara hidup


Noel Achariam

Antara desakan yang dibuat pelajar terlibat protes tengah hari tadi terhadap kerajaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Julai, 2022.

PERSATUAN pelajar daripada pelbagai universiti akan terus mengadakan protes jalanan jika kerajaan gagal menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Jika kerajaan gagal mendengar desakan disuarakan dalam tempoh seminggu mereka mengugut akan akan turun ke jalanan lagi.

Presiden Persatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Aliff Naif berkata mereka tidak akan berdiam diri ketika rakyat sedang berdepan kesusahan sekarang ini.

Katanya menyuarakan isu yang dihadapi oleh rakyat di negara ini serta menuntut keadilan adalah tanggungjawab mereka.

“Salah satu tuntutan kami adalah pemotongan gaji menteri namun tidak dihiraukan. Kami mahu mereka  (kerajaan) melihat bagaimana susahnya rakyat sekarang ini

“Kami mahu mewujudkan kesedaran bahawa mereak tidak boleh menutup mata terhadap apa yang rakyat sedang hadapi,” katanya.

Kira-kira 200 pelajar dan kumpulan masyarakat sivil berkumpul di Pasar Seni, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Aliff turut membidas kerajaan atas tindakan menubuhkan jawatankuasa bagi menangani isu tersebut iaitu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

“Berapa banyak jawatankuasa nak tubuhkan? Jawatankuasa pun diketuai oleh orang kaya.Jadi saya minta pelajar-pelajar tidak berdiam diri.

“Isu ini bukan melibatkan dalam kampus kita sahaja tapi keluarga dan rakyat. Ini bukan kali terakhir kami bersuara jika desakan kami tidak dipenuhi,” katanya.

Kira-kira 200 pelajar dan kumpulan masyarakat sivil berkumpul di Pasar Seni, Kuala Lumpur tengah hari tadi.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Julai, 2022.

Mereka menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan, menyediakan bantuan yang mencukupi kepada rakyat, mengekalkan subsidi semasa dan tidak mengurangkan sebarang subsidi lain, menyelesaikan isu keselamatan makanan serta mengawal harga barangan dan makanan.

“Kami harap ada perbincangan dengan wakil rakyat atau kerajaan untuk isu yang dibangkitkan dan kami boleh kemukakan cadangan yang kami fikir kerajaan boleh laksanakan.

“Cadangan kami melibatkan kos sara hidup dan keselamatan makanan,” katanya yang akan menghantar surat ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). – 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen