Penduduk Sungai Buloh pertimbang heret bantahan lebar jalan ke mahkamah


Noel Achariam

Penduduk Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor berkata cadangan untuk melebarkan jalan susur bersebelahan padang di Jalan BRP7/2 akan menjejaskan 40,000 penduduk di sekitar kawasan sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2023.

PENDUDUK Bukit Rahman Putra (BRP) di Sungai Buloh bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang jika cadangan melebar jalan susur di kawasan perumahan yang akan menceroboh satu-satunya padang mereka, dibenarkan.

Wakil penduduk BRP Keng Pui Kang berkata tindakan undang-undang itu akan menjadi pilihan terakhir mereka untuk menghentikan pembangunan itu.

“Jika semua usaha gagal, maka senario terburuk ialah membawa perkara itu ke mahkamah. Ia adalah untuk melindungi satu-satunya padang (yang kita ada).

“Mengambil tindakan undang-undang memang mahal tetapi kami bersedia untuk mengumpul dana. Kami masih dalam perbincangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penduduk membantah keras rancangan pemaju untuk melebarkan jalan 6m kepada 12m di Jalan BRP7/2, Sungai Buloh, Selangor yang bersebelahan dengan padang. Pelebaran itu akan menjejaskan kawasan hijau.

Penduduk menggesa kerajaan Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membatalkan projek itu kerana 40,000 penduduk sekitar akan terjejas.

Jalan itu dilebarkan bagi memberi laluan kepada pemaju membina rumah satu dan dua tingkat berhampiran dianggarkan 6,000 unit.

Januari lalu, penduduk dimaklumkan  oleh ahli majlis MPS Ng Kok Chuan yang projek membina jalan baharu antara SMK BRP dan padang di Jalan BRP 7/2 itu sudah diluluskan.

Penduduk bagaimanapun berkata, kawasan itu diwartakan untuk kegunaan rekreasi seperti yang diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Shah Alam pada 2022.

Keng juga berkata sebarang langkah untuk meneruskan tindakan undang-undang akan dilakukan selepas Pilihan Raya Negeri Selangor.

“Kami akan putuskan selepas pilihan raya sebab kami pun tak tahu siapa yang akan ambil alih (kerajaan negeri).

“Kami juga tidak tahu jika kenyataan (berkait projek itu) oleh ahli politik sebelum ini akan memberi kesan.

Dia bagaimanapun berharap mereka akan mendapat berita baik daripada kerajaan negeri sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan.

13 Mei lalu, 100 penduduk menganjurkan perhimpunan aman bagi membantah projek itu.

Keng juga berkata sehingga kini sembilan persatuan penduduk lain yang bersebelahan dengan rumah mereka menandatangani surat sokongan untuk bantahan mereka.

“Kami bercadang untuk mendapatkan lebih banyak RA. Setelah semua surat terkumpul, ia akan dihantar kepada presiden MPS dan Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari).

“Kami berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Amirudin untuk memberikan memorandum kami yang membantah projek itu dalam masa dua minggu,” katanya.

Padang bola yang dipertahankan itu merangkumi gelanggang bola keranjang dan sepak takraw serta laluan pejalan kaki juga trek joging yang digunakan oleh penduduk BRP, Matang Pagar, Villa Putera, Villa Puteri, Amansari, Sri Indah, Sri Putra dan Kuang. β€“ 29 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen