Penduduk di Sungai Buloh bantah cadangan lebarkan jalan


Noel Achariam

Penduduk Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor berkata cadangan untuk melebarkan jalan susur bersebelahan padang di Jalan BRP7/2 akan menjejaskan 40,000 penduduk di sekitar kawasan sekitar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Mei 2023.

PENDUDUK Bukit Rahman Putra (BRP) di Sungai Buloh, Selangor membantah cadangan untuk melebar jalan susur di kawasan perumahan mereka, yang didakwa akan menceroboh satu-satunya taman rekreasi di  situ.

Bantahan mereka itu merujuk kepada cadangan untuk melebarkan jalan bersebelahan dengan padang di Jalan BRP7/2, daripada enam meter kepada 12 meter.

Penduduk ini menggesa kerajaan negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) supaya menghentikan projek tersebut kerana dikhuatiri akan menjejaskan 40,000 penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Wakil penduduk berkenaan, Keng Pui Kang berkata pada hujung Januari 2022 mereka dimaklumkan oleh Ahli Majlis MPS Ng Kok Chuan bahawa projek melebarkan jalan susur antara SMK Bukit Rahman Putra dan padang di Jalan BRP7/2 telah pun diluluskan.

“Kami telah kemukakan bantahan pada 2019, dan menggesa cadangan projek ini dibatalkan kerana ini melibatkan satu-satunya padang di BRP.

“Kami mahu MPS tarik balik kelulusan dan biarkan kawasan tersebut kekal sebagai kawasan rekreasi,” kata Keng kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, penduduk mendapat tahu kawasan padang terbabit diwartakan untuk kegunaan rekreasi pada Februari tahun ini.

“Semasa kami ke MPS bulan lepas, pegawai di sana maklumkan tanah itu belum diwartakan.

“Kami membantah dan mahu melindungi kawasan padang kami daripada disalahgunakan kerana ia telah diwartakan pada 2021.

“Mengapa pemaju perumahan diberi kebenaran untuk musnahkan satu-satunya padang di BRP yang kami gunakan untuk aktiviti rekreasi?” soalnya.

Selain penduduk di Bukit Rahman Putra padang komuniti tersebut digunakan oleh penduduk  dari Matang Pagar, Villa Putera, Villa Puteri, Amansari, Sri Indah, Sri Putra, dan Kuang. 

Ia mempunyai padang bola, gelanggang bola keranjang, gelanggang sepak takraw dan laluan pejalan kaki serta trek joging. – 4 Mei 2023. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen