Hadi yang unik dan PAS yang perlu lebih inklusif


G Manimaran

BUAT julung kali PAS mendapat sokongan undi dan moral yang amat luar biasa daripada pengundi bukan Melayu-Islam ketika Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008. Semasa PRU itu, tiga buah parti utama pembangkang menjalin kerjasama politik yang amat luar biasa, iaitu DAP, PAS dan PKR membentuk Pakatan Rakyat (PR).

Ramai bukan Melayu-Islam membawa bendera PAS semasa tempoh berkempen dan juga ketika pada hari pengundian. Malah, dengan hati terbuka mereka memakai lencana pilihan raya yang tertera logo dan lambang PAS. Mereka menerima PAS sebagai rakan politik terbaharu.

Suasana itu tidak pernah disaksikan oleh negara, malah saya rasa tidak pernah dilalui oleh pemimpin-pemimpin PAS dan ahli-ahli politik daripada kedua-dua barisan pembangkang dan yang memerintah negara ketika itu. 

PR, sebuah gabungan longgar, menghadapi Barisan Nasional (BN) yang dianggotai oleh 14 buah komponen yang mewakili pelbagai kaum, mula berhadapan dengan kemerosotan sokongan – undi popular dan kerusi yang dimenangi. Lima buah negeri termasuk Kelantan, yang ditadbir oleh PAS, jatuh ke tangan parti-parti komponen PR pada tahun 2008.

Perubahan itu dilihat sebagai petanda awal kepada politik baharu di Malaysia.

PR tidak pernah didaftarkan sebagai sebuah gabungan formal dan rasmi. PR hanya dinamakan sebagai gabungan politik selepas PRU 2008 bagi menyajikan sistem dua parti di Malaysia. Itulah gabungan paling dinamik dalam sejarah negara.

Sebelum ini, sejak 1980-an walaupun pernah ada gabungan politik yang bertentang mata dengan BN dalam pilihan raya, tetapi kesemuanya gagal dan hayat gabungan-gabungan terbabit juga tidak lama.

Disebabkan oleh isu ketidaksefahaman PR juga terkubur dua tahun selepas PRU 2013 dan tiga tahun menjelang PRU14 yang diadakan pada tahun 2018.

Menjelang PRU 2008 saya juga tertarik dengan satu kain rentang yang dinaikkan dengan tertera ucapan tahun baharu Cina di kawasan Bukit Bintang di ibu negara, yang menjadi kubu kuat DAP.

Saya tidak pernah jumpa keadaan itu, yang agak berbeza diambil oleh parti yang berteraskan perjuangan politik Islam.

Saya tidak pasti di kawasan-kawasan lain, tetapi mengambil kira pendekatan politik untuk menawan hati pengundi, situasi yang sama kemungkinan ada wujud di tempat-tempat lain.

Bagi saya, sebagai sebuah negara majmuk dan kaya dengan aset agama, kaum dan budaya yang pelbagai, pendekatan politik meraikan pengundi berlainan kaum dan agama amat penting.

Kedua-dua perkembangan itu sesungguhnya merupakan sesuatu yang menarik dalam arena politik negara. Siapa sangka kedua-dua detik itu akan berlaku. Semuanya tidak mungkin satu ketika dahuli. Tetapi perubahan dan peredaran masa mengubah hati kita dalam politik.

Oleh itu ia memerlukan satu strategi yang berbeza – yang bersifat inklusif dan pragmatik.

Tarik undi bukan Islam

Selepas ketegangan kempen pilihan raya sejak lebih setahun lalu, saya tertarik dengan pandangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, penghujung minggu lalu. Beliau mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam pula setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.

Sama ada arahan, nasihat ataupun idea baharu, ia memang sesuatu yang menarik dalam suasana politik yang membawa kepada ‘politik identiti’ dan isu 3R.

Berucap menyampaikan ucapan dasar sempena muktamar tahunan PAS, kata beliau: “Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU16.”

Tambah Hadi, “perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana.”

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan mengakui bedah siasat PAS mendapati bahawa mereka lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu, dan keadaan itu mengakibatkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan.

PAS yang menjalin kerjasama politik luar biasa dengan memeterai Perjanjian Muafakat Nasional (MN) dengan Umno pada tahun 2019, mengubah haluan untuk bersama dengan Bersatu, yang menubuhkan PN pada tahun 2020, untuk melawan Pakatan Harapan dan BN.

Kerjasama politik PAS dan Umno, kedua-duanya parti tertua, tidak tahan lama disebabkan siri perbezaan pendirian dan keutamaan, meskipun pemimpin mereka pernah berada dalam kerajaan yang sama, yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob selama 33 bulan.

Kenyataan Hadi mengenai keperluan untuk memikat pengundi bukan Melayu-Islam bukan baharu. PAS pernah menzahirkan pendirian yang sama sebelum PRU15 dan malah lebih satu dekad. Itu sebabnya PAS mewujudkan sayap tambahan dalam perlembagannya untuk membolehkan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

PAS masih dilihat sebagai parti politik ekstrem walaupun pandangan itu pernah berubah 15 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

Dalam sejarah perjuangan politik, PAS buat julung kali memperoleh kerusi terbanyak di peringkat pusat. Berbanding 18 kerusi diperoleh dalam PRU14, PAS menguasai sebanyak 43 kerusi Parlimen pada November lalu melalui kerjasamanya dalam gabungan PN. Kemajuan itu bersamaan dengan peningkatan 140 peratus.

Hadi dan PAS bangga dengan prestasi itu. Sesungguhnya ia satu pencapaian yang perlu dibanggakan oleh parti politik. Itu tidak boleh dinafikan.

Pandangan Hadi kali ini menunjukkan PAS bercita-cita besar untuk mentadbir kerajaan persekutuan. Ia satu impian dan visi buat mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. Dari dahulu sehingga sekarang dan kekal selama-lamanya.

Jika tidak, mereka tidak akan turun gelanggang pilihan raya. Seperti pelabur, pedagang dan peniaga yang menceburi bisnes. Matlamat utama mereka adalah laba dan keuntungan.

Setiap tindakan parti politik meletakkan sasaran untuk mencapai hasil – undi, mandat dan kuasa. Nampaknya Hadi dan PAS meletakkan sasaran jangka panjang – mahu kembali ke Putrajaya dalam kedudukan lebih yang kukuh lagi mantap.

Saya percaya Hadi dan PAS tahu bahawa untuk menawan Putrajaya sama ada atas nama PAS atau PN, mereka memerlukan sokongan bukan Melayu-Islam.

Daripada sebuah negeri, PAS hari ini mengetuai empat kerajaan negeri, walaupun Bersatu merupakan pengasas PN, yang turut dianggotai oleh Parti Gerakan. Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah berada dalam kerajaan yang dikemudi pemimpin PAS.

Kesemua negeri terbabit kecuali Kedah, hampir 90 peratus dan lebih merupakan pengundi Melayu-Islam. Penduduk Melayu di Kedah dalam lingkungan 80 peratus.

Oleh itu, PAS memerlukan sokongan bukan Melayu Islam di negeri-negeri yang terdiri daripada pengundi campuran, melibatkan komposisi semua kaum dan agama, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Bermula dari Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022, penguasaan undi popular PAS dan PN telah meningkat dengan ketara. Kedudukan itu amat jelas semasa PRU15 dan PRN enam negeri. PAS nampak yakin akan meneruskan penguasaan mereka.

Pada PRU16 PAS menyasarkan strategi untuk menawan Perak dan Pahang. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Noor menekankan bahawa bagi mencapai sasaran itu, parti terbabit diminta untuk tidak lagi terkurung dalam politik tradisi, sebaliknya mempelbagaikan langkah untuk merangka gerak kerja ke arah berkenaan.

Sebagai sebuah negara majmuk, parti-parti politik tidak boleh lari daripada menawan hati pengundi bukan Melayu-Islam jika bercita-cita untuk meluaskan tapak sehingga Putrajaya. BN, yang sebelum 1973 dikenali sebagai Parti Perikatan, menyedari perkara ini.

Justeru itu, atas keperluan ini, gabungan itu menggunakan prinsip perkongsian kuasa dengan lambang dacing bermula lima dekad lalu. Malah beberapa pemimpin mereka sendiri pernah mengakui komponen tersebut beberapa kali apabila Umno berhadapan dengan isu, krisis dan konflik dalaman sehingga berhadapan dengan kemerosotan undi dalam beberapa PRU.

Idea segarkan politik negara

Meskipun BN berada dalam kedudukan yang ‘tidak sihat’ dalam politik, dan dua komponennya tidak bertanding dalam PRN Ogos lalu, ia masih berpegang kepada prinsip tersebut dan meraikan kehadiran pengundi bukan Melayu-Islam.

BN dan Umno tahu bahawa untuk kekal berkuasa sokongan bukan Melayu-Islam sangat penting. Meskipun sokongan bukan Melayu-Islam kepada BN terus merosot sejak PRU 2008, mereka sedar akan kepentingan sokongan mereka. Ia telah terbukti dalam PRN enam negeri Ogos lalu. Begitu juga sokongan pengundi dari Sabah dan Sarawak.

Banyak pihak telah melontarkan reaksi mereka berhubung pandangan terbaharu Hadi. Hadi sebenarnya merupakan antara beberapa pemimpin PAS yang dilihat sebagai personaliti yang tahu ‘nilai berita’ untuk kekal relevan dalam arena politik negara, seperti Dr Mahathir Mohamad yang kini berada dalam barisan PAS.

Sekali lagi beliau telah menyampaikan idea yang terus menyegarkan politik negara dengan kesinambungan kontroversi dan polemik. Ahli politik tidak boleh duduk diam tanpa kenyataan-kenyataan menarik dan kontroversi.

Lima belas tahun lalu PAS telah berjaya memikat hati dan undi komuniti bukan Islam sehingga mengejutkan banyak pihak dalam dan luar negara. Bagaimanapun ia telah hilang dan terhakis disebabkan pelbagai faktor.

Saya yakin Hadi dan PAS tahu akan sebabnya. PAS merupakan antara parti yang mempunyai unit penyelidikan yang tersusun dan mantap. Mereka boleh melakukan kajian mendalam.

Dalam politik, aktor politik perlu menghargai kehadiran pengundi-pengundi tidak kira latar belakang, kedudukan, agama dan kaum. Terutama di negara-negara seperti kita. Ia akan memberi kelebihan dan kekuatan politik.

Hadi seorang pemimpin unik. Pada masa yang sama, PAS perlu dan kelihatan inklusif dalam menerima kepelbagaian. PAS perlu mengukuhkan langkah pragmatik untuk menghargai kepentingan dan keperluan pengundi bukan Islam. Laluan ke arah itu akan memenuhi pandangan dilontarkan Hadi.

Daripada kaca mata bukan Islam, PAS masih dilihat sebagai parti politik ekstrem. Ia masih tebal sehingga ke hari ini walaupun persepsi itu pernah berubah 15 tahun yang lalu.

Saya percaya PAS mempunyai barisan pemimpin progresif. Di peringkat ini, kita harus memetik sedutan buku biografi “Lim Kit Siang – Malaysian First” jilid kedua.

Penulisnya, Kee Thuan Chye membawa kita kepada pendekatan unik Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, yang disifatkan telah berjaya ‘mencairkan’ hati kebal mendiang Karpal Singh, mantan Pengerusi DAP dalam mengukuhkan kerjasama dan gandingan politk barisan pembangkang lebih dua dekad lalu. Kita dapat lihat pegangan politik kedua-dua musuh ketat itu. Akhirnya mereka pernah duduk bersama di satu pentas di Shah Alam pada Disember 2009.

Harapan kita: Aktor-aktor politik, tidak kira parti, ideologi dan pegangan politik, perlu amalkan kesederhanaan dalam mencari kuasa politik. Bukannya ekstrem atau mengambil sayap kiri.

Ini negara kita bersama. Jangan sampai “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. – 23 Oktober, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen