Masyarakat Malaysia terpecah isu Palestin-Israel


Ruhan Shahrir

Seorang kanak-kanak ditemui daripada runtuhan bangunan kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel di kem pelarian Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2023.

MINGGU lepas sebuah portal popular atas talian terpaksa menutup ruang komennya selepas ia memuat naik berita dalam Bahasa Inggeris mengenai isu Palestin-Israel.

Membaca komen-komen yang terlepas masuk sebelum ia ditutup menemukan kita dengan kecenderungan pembacanya.

Berdasarkan komen-komen yang sempat terlepas kemungkinan besar datangnya daripada pembaca bukan Muslim yang bahasa utama mereka bahasa Inggeris dan secara umumnya cenderung berpihak kepada Israel berbanding Palestin.

Pada minggu yang sama Sin Chew Jit Poh menyiarkan laporan di portal beritanya mengenai pengeboman Israel ke atas Gaza yang meruntuhkan sebuah masjid dan membunuh ramai penduduk Palestin termasuk kaum perempuan dan kanak-kanak.

Laporan itu mengundang “emoji ketawa” daripada ramai pembacanya.

Meneliti nama-nama yang memberikan reaksi “emoji ketawa” tersebut, besar kemungkinan mereka adalah daripada komuniti bukan Muslim.

Dari pemerhatian yang terbatas itu tidak berlebihan untuk saya rumuskan secara umum masyarakat Malaysia sememangnya terpecah dalam menanggapi isu Palestin-Israel yang sememangnya sebuah isu yang cukup rumit.

Terpecahnya masyarakat Malaysia dalam menanggapi isu ini bukan hanya antara komuniti Muslim dan bukan Muslim tetapi turut melanda sesama Muslim juga khususnya dari sudut perbezaan mazhab antara Sunni dan Syiah.

Namun untuk rencana ini saya hanya memfokuskan kepada perpecahan antara komuniti Muslim dan bukan Muslim sahaja kerana ia adalah garis pertentangan atau “fault line” yang lebih memberi kesan kepada kehidupan berbangsa dan bernegara dalam masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, agama dan bahasa.

Asap yang kelihatan dari bahagian utara Semenanjung Gaza susulan serangan udara Israel. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

Komuniti Muslim dan Palestin

Isu Palestin sangat dekat dengan masyarakat Muslim di Malaysia.

Dekatnya isu tersebut dapat dilihat daripada rencana-rencana yang mereka tulis di pelbagai portal media atau video-video yang mereka muat naik di pelbagai platform media sosial.

Minggu lepas semua penulis di pojok Suara The Malaysian Insight menulis mengenai Palestin-Israel.

Seorang pun tidak terkecuali. Kesemua mereka juga adalah penulis berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Sudut yang mereka ambil juga jelas iaitu menyatakan sokongan dan keberpihakan kepada Palestin dan mengutuk penjajahan, pencerobohan dan pendudukan haram Israel ke atas bumi Palestin.

Bukan hanya di The Malaysian Insight tetapi juga di portal-portal media lain yang berbahasa Melayu khususnya komuniti inteligensia Melayu dan Muslim dengan jelas, lantang dan gencar menzahirkan sokongan mereka kepada Palestin baik dalam bentuk tulisan, mahu pun perbincangan menerusi video di platform-platform media sosial.

Ini sebenarnya tidaklah mengejutkan. Saya percaya, kebanyakan anggota komuniti Muslim di Malaysia sudah disosialisasikan dengan isu tersebut sejak kecil lagi sama ada menerusi keluarga, ibu bapa, media massa, wacana awam, guru, ustaz, penceramah agama, sekolah, universiti dan masijid yang merupakan institusi penting dalam masyarakat Muslim.

Tambahan pula Palestin adalah tanah tempat terletaknya Baitulmuqaddis, sebuah tanah yang dipercayai suci yang di dalamnya wujud pula binaan yang juga dianggap suci buat umat Islam di seluruh dunia, yakni Masjid al-Aqsa.

Justeru munasabah sahaja apabila meletus kembali isu Palestin-Israel, sebahagian besar masyarakat Muslim di Malaysia akan turut terbangkit sentimen, emosi dan keprihatinan serta kepedulian mereka untuk menyatakan sokongan dan keberpihakan kepada Palestin.

Khemah untuk rakyat Palestin yang mencari perlindungan didirikan di sebuah pusat UNRWA di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

Komuniti bukan Muslim dan Palestin

Situasi ini secara umumnya saya percaya berbeza di kalangan komuniti bukan Muslim kecuali mereka yang bercampur dan bergaul rapat dengan kawan-kawan Melayu dan Muslim.

Saya tidak pasti apakah terdapat keghairahan, keprihatinan dan kepedulian yang sama diungkapkan oleh penulis-penulis dan komuniti inteligensia bukan Melayu dan bukan Muslim dalam menanggapi isu tersebut.

Mungkin sahaja ada tetapi dalam bahasa yang mungkin saya tak punya aksesnya.

Namun meneliti tulisan-tulisan dalam bahasa Inggeris di pojok Voices, The Malaysian Insight dan tulisan-tulisan berbahasa Inggeris yang ditulis oleh penulis-penulis bukan Melayu dan bukan Muslim di portal-portal berita atas talian yang lainnya, saya dapati kurang rencana-rencana yang menunjukkan keghairahan, keprihatinan dan kepedulian mereka terhadap isu-isu yang bersangkutan Palestin.

Sebaliknya yang saya temui adalah tulisan-tulisan berbahasa Inggeris yang diluahkan di ruang-ruang komen yang cenderung menyebelahi Israel.

Persoalannya kenapa?

Orang ramai memegang bendera Palestin semasa demonstrasi 'Bebaskan Palestin' di Coburg, Melbourne, Australia. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2023.

Struktur sosial terpisah melahirkan naratif berbeza

Pertamanya, struktur sosial masyarakat Malaysia yang masyarakatnya terbelah mengikut garis etnik dengan masing-masing komuniti hidup secara terpisah-pisah, cenderung menyebabkan naratif Palestin-Israel difahami dari sudut yang berbeza-beza.

Buat sebahagian besar komuniti Melayu dan Muslim, secara sejarahnya Israel adalah sebuah negara yang didirikan secara haram.

Penubuhan negara Israel secara haram itu disokong pula oleh kuasa-kuasa Barat menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tanpa sebarang persetujuan daripada penduduk pribumi Palestin itu sendiri.

Manakala buat sebahagian besar komuniti bukan Muslim pula, Israel adalah sebuah negara yang sah dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Justeru tindakan keganasan, kekerasan, penindasan dan perang yang dilancarkan oleh Israel tersebut cenderung dilihat sebagai suatu tindakan yang dianggap absah untuk “melindungi dan mempertahankan” dirinya.

Naratif yang berlawanan antara kedua-dua komuniti ini pada hemat saya berpunca daripada sosialisasi pengetahuan tentang sejarah hubungan Palestin-Israel yang berbeza-beza yang diterima oleh masing-masing komuniti baik menerusi pembacaan atau pun wacana di dalam lingkungan sosial masing-masing.

Keterpisahan struktur sosial khususnya dalam bentuk etnik dan agama menyebabkan lingkungan sosial masing-masing juga cenderung terdedah kepada wacana sepihak semata-mata.

Pada masa yang sama, memandangkan komuniti bukan Muslim di Malaysia tiada sebarang ikatan emosi dan perasaan dalam bentuk keagamaan dan kerohanian terhadap tanah (Baitulmuqaddis) dan binaan (Masjid al-Aqsa) yang dianggap suci di Palestin, maka darjah kepedulian dan keprihatinan sebahagian besar daripada mereka mengenai isu Palestin-Israel ini cenderung rendah berbanding dengan komuniti Melayu dan Muslim.

Penduduk Palestin mencari mayat dan mangsa yang terselamat di antara runtuhan rumah keluarga Saqallah berikutan serangan udara Israel di barat daya Gaza. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2023.

Bingkai yang eksklusif cenderung menjauhkan

Keduanya permasalahan isu Palestin-Israel yang dibingkaikan oleh masyarakat Muslim di Malaysia dalam wacana-wacana mereka cenderung menjauhkan masyarakat bukan Muslim untuk lebih dekat dengan isu-isu yang berkaitan Palestin.

Bingkai yang sering digunakan oleh masyarakat Muslim adalah bingkai agama yang sempit dengan retorik-retorik yang menggunakan istilah seperti “jihad melawan kafir”, “merebut kembali tanah suci Islam”, “Allahuakbar” dan mengajukan simbol-simbol agama seperti “al-Aqsa”, “Baitulmuqaddis”, “ayat-ayat al-Quran” dan seumpamanya yang menyebabkan masyarakat bukan Muslim rasa terasing.

Bingkai yang eksklusif Muslim seperti itu cenderung membuatkan masyarakat bukan Muslim merasa mereka bukan sebahagian daripada perjuangan yang digerakkan itu.

Bingkai agama tentunya tidak terelakkan kerana ia telah pun menjadi sebahagian daripada unsur penting yang menggerakkan perjuangan isu-isu Palestin di Malaysia. Namun, ia hanya sesuai untuk masyarakat Muslim semata-mata.

Buat masyarakat bukan Muslim, isu-isu yang lebih terangkum (inklusif) – misalnya persoalan pelanggaran hak asasi manusia, pendudukan haram yang melanggar ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, penjajahan tanah menerusi migrasi besar-besaran etnik Yahudi asal Eropah ke atas tanah Palestin, dasar aparteid yang dijalankan oleh Israel, pemenjaraan tanpa perbicaraan ke atas aktivis-aktivis Palestin, tindakan-tidakan penghapusan etnik Arab Palestin yang dilakukan oleh Israel, pengusiran paksa, perobohan penempatan-penempatan penduduk Arab Palestin, sekatan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan-bahan asas kehidupan serta pelbagai isu yang melibatkan persoalan kemanusiaan dan keadilan sejagat – lebih sesuai untuk dijadikan bingkai buat menuai keprihatinan dan kepedulian mereka.

Penunjuk perasaan membuka laluan kepada ambulans semasa perhimpunan di luar ibu pejabat kedutaan Israel di Amman untuk menunjukkan solidariti dengan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

Bingkai yang berketerangkuman pada hemat saya lebih boleh diterima oleh masyarakat bukan Muslim tanpa perlu disempitkan menerusi retorik-retorik dan simbol-simbol agama semata-mata.

Ini tentunya memerlukan perbincangan dan dialog silang etnik serta silang-agama yang berterusan menerusi bahasa yang lebih terangkum (inklusif).

Anggapan diskriminasi

Ketiganya, kemungkinan besar masyarakat bukan Muslim khususnya Cina dan India menganggap Malaysia adalah sebuah negara yang berhegemonikan pemerintahan Melayu-Islam yang memberikan kelebihan dan keistimewaan kepada komuniti Melayu dan Muslim berbanding komuniti-komuniti lain.

Dalam konteks ini komuniti bukan Muslim cenderung merasakan mereka didiskriminasikan oleh negara (yang didominasi secara politiknya oleh Melayu-Islam).

Anggapan seperti itu boleh jadi benar atau boleh jadi juga dirasakan mereka sebagai benar.

Permasalahan ini sebenarnya rumit kerana ia melibatkan proses sejarah penjajahan silam yang telah memisah-misahkan etnik-etnik yang ada di Malaysia ini bukan hanya dari sudut politik, bahasa, pendidikan dan penempatan tetapi juga status sosio-ekonomi masing-masing etnik turut dibezakan kedudukannya.

Tambahan pula tahap integrasi antara etnik yang rendah menyebabkan etos kebangsaan Malaysia masih terus dipertandingkan dan ini memberi kesan kepada apa yang dianggap adil oleh masing-masing etnik.

Namun tidak semua anggota masyarakat mampu untuk memahami proses pembinaan bangsa  dan pelaksanaan keadilan dalam konteks negara Malaysia yang mewarisi sejarah penjajahan yang rumit.

Seorang anggota pertahanan awam Palestin berdiri di celah bangunan runtuh akibat serangan Israel semasa mencari mangsa di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

Justeru terdapat kecenderungan untuk beranggapan dasar-dasar yang dijalankan oleh negara yang mereka anggap berhegemonikan Melayu-Islam sebagai mendiskriminasi bukan Melayu dan bukan Muslim.

Anggapan tersebut kemungkinan besar menjadi suatu bentuk keterpendaman bukan Melayu dan bukan Muslim. Keterpendaman tersebut kemudiannya dizahirkan menerusi peluahan-peluahan perasaan di ruang-ruang komen dan media sosial ke atas apa sahaja dasar-dasar negara yang dianggap pro-Islam atau pro-Melayu termasuklah dasar negara Malaysia yang pro-Palestin dan anti-Zionis Israel, meskipun dasar tersebut pada hakikatnya tidak pernah berubah sejak dari zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman lagi.

Pengaruh negara luar

Keempatnya, berhubungan dengan anggapan didiskriminasikan, kemungkinan besar sebahagian daripada komuniti bukan Muslim khususnya Cina dan India, mengidamkan Malaysia seperti Singapura atau negara-negara Barat yang dianggap mereka sebagai negara-negara sekular yang ideal tanpa diskriminasi tetapi melaksanakan meritokrasi yang mereka anggap sebagai lebih adil.

Justeru, dalam konteks isu Palestin-Israel ini, pendirian politik kerajaan Singapura dan negara-negara Barat serta wacana-wacana pro-Israel dan anti-Palestine yang datang dari portal berita dan media sosial negara-negara tersebut mungkin turut mempengaruhi fikiran dan perasaan mereka untuk menyatakan sokongan kepada Israel menerusi komen-komen dan reaksi mereka di media-media sosial apabila isu Palestin-Israel muncul menjadi berita.

Pada masa yang sama, teknologi internet dan media sosial yang merentas sempadan negara-bangsa membolehkan komuniti bukan Melayu dan bukan Muslim (baca: Cina dan India) untuk mendapat akses berita, maklumat dan perbincangan dari portal dan media sosial di negara leluhur mereka yang menggunakan pula bahasa etnik mereka  sebagai sumber maklumat utama.

Seorang bapa membawa jenazah anaknya yang terbunuh akibat serangan udara Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

Tidak berlebihan untuk saya katakan maklumat-maklumat yang mereka perolehi daripada pelbagai sumber atas talian dari negara leluhur mereka itu (baca: China, Taiwan, Hong Kong dan India) sedikit-sebanyak mungkin telah mempengaruhi pola fikir mereka di dalam menanggapi isu Palestin-Israel tersebut.

Konflik Hindu-Muslim di India atau konflik China-Uyghur misalnya, mungkin sahaja menjadi unsur bawah sedar atau unsur sedar yang membentuk fikiran dan perasaan mereka untuk berpihak kepada Israel dan memberikan “emoji ketawa” apabila membaca berita tentang kemusnahan Palestin.

Kesan kepada hubungan etnik di Malaysia

Perbezaan pandangan dalam menanggapi sesuatu isu itu adalah sebahagian daripada natijah yang lahir di dalam kehidupan bernegara yang menggunakan kerangka demokrasi liberal.

Selagi ia terbendung hanya di dalam bentuk teks (komen dan penulisan), pengucapan (audio dan video), simbol (emoji, sticker dan meme), selagi itu tiada keperluan untuk menyekat atau membataskannya.

Ia adalah suatu bentuk penzahiran keterpendaman oleh masing-masing komuniti yang dalam keadaan tertentu mungkin perlu dibenarkan untuk diluahkan.

Jika ditutup, disekat dan dibatasi kemungkinan keterpendaman tersebut boleh meletus menjadi letupan yang lebih dahsyat.

Namun, dalam struktur masyarakat Malaysia yang sudah teretnisasi kejap tanpa adanya dialog atau perbincangan silang-etnik dan silang-agama yang intim serta mendalam, perbezaan-perbezaan khususnya di dalam isu-isu yang bersifat emotif seperti Palestin-Israel, ia cenderung menajamkan stereotaip dan prejudis, meningkatkan rasa curiga dan tidak percaya serta menebalkan lagi batas etnik masing-masing komuniti.

Begitulah. Paradoks kebebasan individu bersandarkan demokrasi liberal di dalam masyarakat majmuk yang komuniti etniknya hidup terpisah-pisah.

Seperti paku tertancap di kayu, ditarik keluar bekas lubangnya tetap terlihat. – 20 Oktober, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen