YB, jangan lupa bangkit perkasa undang-undang pilihan raya


G Manimaran

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Jumaat lalu dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah kewangan negara.

Peruntukan keseluruhan RM393.8 bilion. Satu jumlah yang dijangkakan mengambil kira keperluan semasa daripada pelbagai sudut.

Salah satu termasuklah komposisi Kerajaan Perpaduan yang dibentuk susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu yang memerlukan keprihatinan dan mengambil kira keperluan pelbagai pihak.

Dalam sebulan lagi akan genap satu tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk sekali gus berfungsi bagi memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

Bermula hari ini sehingga akan genapnya satu tahun Kerajaan Perpaduan, Belanjawan 2024 akan dibahas di pelbagai peringkat dan akan melalui proses penerimaan dan kelulusan.

Dan seterusnya ia akan dibawa ke Dewan Negara untuk kata putus berikutnya.

Secara tradisi setiap belanjawan akan diterima dan diluluskan. Tidak ada belanjawan tahunan yang ditolak.

Meskipun pernah melalui laluan getir, lebih satu dekad yang lalu bajet semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah diluluskan dengan undian sokongan tipis. Itulah amalan di negara kita.

Dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah, lebih 100 insentif, skim dan dasar diperkenalkan dalam belanjawan madani kedua telah diketengahkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu.

Hampir kesemua anggota Dewan Rakyat, barisan penyokong kerajaan dan barisan pembangkang akan diberi ruang untuk membahaskan bajet di kedua-dua peringkat dasar dan jawatankuasa mulai hari ini.

Memandangkan ini belanjawan kedua kerajaan Malaysia Madani dibahaskan tahun ini, yang pertama Februari-Mac lalu iaitu Belanjawan 2023 susulan PRU15, anggota Dewan Rakyat yang sebahagian besar merupakan muka baharu, diharap akan mengetengahkan perbahasan yang membina, progresif dan konstruktif.

Itulah harapan rakyat. Mereka inginkan mutu perbahasan yang tinggi selaras dengan martabat institusi parlimen.

Tahun pertama pasca-PRU15 juga akan lengkap bulan depan. Perbahasan ke atas Belanjawan 2023 lalu lebih bersifat mengetengahkan dan memperkasakan idea-idea berkaitan dengan sosioekonomi rakyat, memandangkan ia merupakan bajet pertama dipersembahkan oleh kerajaan.

Para pembahas perlu mengambil pendekatan berbeza kali ini dengan melihat jauh mengenai keperluan reformasi institusi dan sistem perundangan.

Salah satunya berkaitan dengan kerangka perundangan pilihan raya negara.

Mengambil kira perjalanan lebih enam dekad, negara memerlukan sistem dan undang-undang pilihan raya yang lebih segar mengikut keperluan semasa.

Kerangka perundangan pilihan raya perlu disemak dan diperkasakan agar sesuai dengan kehendak semasa dan akan datang.

Sejak dua dekad lalu sudah wujud desakan-desakan supaya undang-undang pilihan raya dikaji semula.

Malah perkara itu turut ditekankan dalam Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang dikemukakan kepada kerajaan pada Ogos 2020. Lebih tiga tahun yang lalu.

“Perbandingan ke atas amalan demokrasi di negara-negara yang lebih maju menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang pilihan raya di Malaysia boleh dikategorikan sebagai tidak lengkap atas kekurangan unsur-unsur demokrasi penting yang sepatutnya wujud dalam sebuah kerangka undang-undang pilihan raya.

“Oleh yang demikian, undang-undang ini tidak lagi sesuai diguna pakai dalam era moden dan dalam keadaan aturan sosial semasa,” kata laporan itu.

Laporan ini mengandungi 49 syor sama ada dalam bentuk pindaan kepada undang-undang sedia ada atau penggubalan undang-undang baharu yang dianggap sebagai mustahak dalam sesuatu pilihan raya.

ERC berharap agar kesemua cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi memastikan amalan demokrasi melalui pilihan raya dapat dipertingkatkan supaya Malaysia akan diiktiraf semula sebagai mempunyai sistem pengurusan pilihan raya yang kredibel mengikut standard amalan antarabangsa.

Sesi perbahasan ke atas belanjawan pada kali ini diharap akan digunakan dengan sebaik yang mungkin untuk mengetengahkan keperluan untuk membawa pindaan menyeluruh ke atas kerangka perundangan pilihan raya.

Kita perlu memperlihatkan kemajuan dalam memiliki sistem dan undang-undang pilihan raya dinamik dalam setiap aspek, iaitu proses pendaftaran pengundi, penamaan calon, kempen, kemudahan untuk mengundi, dan proses-proses seterusnya.

Termasuk juga hak setiap pemegang taruh utama pilihan raya: pengundi, calon dan parti yang bertanding, serta media.

Teknologi berubah, keperluan berubah. Begitu juga cita rasa pengundi.

Sejak tahun 2012 pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh banyak pihak. Ini termasuklah jawatankuasa khas parlimen pada tahun 2012 dan kemudian Jawatankuasa Konsultatif Mengenai Pembiayaan Politik pada tahun 2016. Tiga tahun lalu oleh ERC.

Diharap Parlimen akan mempertimbangkan satu suruhanjaya khas bagi menggubal kerangka perundangan pilihan raya baharu untuk negara.

Para Yang Berhormat wajar menggunakan ruang kali ini untuk menekankan perkara ini. Semoga harapan rakyat tertunai kali ini, sebelum PRU16.

Keperluan pindaan itu bukan sahaja amat diperlukan oleh rakyat, tetapi juga penting untuk wakil rakyat yang akan bertanding semula dan parti politik. – 16 Oktober, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen