Kebajikan doktor kontrak tercicir dalam Belanjawan 2024, kata kumpulan


Noel Achariam

– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2023.

HARTAL Doktor Kontrak (HDK) menyambut baik peruntukan yang ditetapkan untuk sektor kesihatan pada Belanjawan 2024 namun kecewa apabila tiada langsung disentuh soal kebajikan doktor kontrak.

HDK berkata belanjawan itu membawa banyak aspek positif namun tidak disebut berkait kebimbangan doktor kontrak.

“Kekurangan strategi yang konkrit dalam belanjawan ini mungkin memburukkan lagi isu penghijrahan tenaga mahir dalam sektor kesihatan awam terutama dengan tambahan hospital dan fasiliti.

“Kami berharap kerajaan terus terbuka untuk pelarasan belanjawan ini khususnya berkait sumber manusia kerana ia asas kepada keberkesanan sistem penjagaan kesihatan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan peruntukan untuk kesihatan daripada RM36.3 bilion kepada RM 41.2 bilion yang menyaksikan penambahan 15%.

HDK berharap wakil-wakil rakyat akan membangkitkan dan membincangkan isu-isu penting ketika sesi perbahasan belanjawan ini nanti.

 “Belanjawan ini mewakili kemajuan tapi penting untuk ia terus berkembang bagi memenuhi keperluan landskap penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Kami menantikan dialog dan kerjasama selanjutnya untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara bagi memastikan kebolehcapaian, keteguhan dan kemampanannya untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu HDK berkata rangsangan pembiayaan dalam belanjawan adalah penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.

“Keputusan menaikkan duti eksais minuman bergula adalah satu langkah yang patut dipuji bagi mengurangkan penyakit tidak berjangkit yang kebanyakannya dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan.

“Lebih-lebih lagi penyaluran hasil duti eksais kepada rawatan pesakit diebetes dan sokongan untuk pusat dialisis menunjukkan komitmen kerajaan untuk menangani isu kesihatan yang kritikal,” katanya.

HDK berkata mereka akan menanti penjelasan lanjut daripada kementerian berhubung duti eksais terhadap tembakau kunyah untuk mendapatkan pemahaman yang komprehensif berkait implikasi dan manfaatnya. – 14 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen