Anwar umum SST naik 8%, cukai keuntungan modal pada 10%


Kata Anwar, cukai dipungut kerajaan yang terendah di Asean pada 11.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Oktober, 2023.

BEBERAPA langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi meluaskan asas hasil negara dan pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata cukai yang dipungut oleh kerajaan adalah antara yang terendah di Asean pada 11.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding Singapura (12.6%) dan Thailand (16.4%).

Menurutnya kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0% berbanding 6.0% dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

“Kerajaan juga akan meluaskan skop perhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

Kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Anwar berkata kerajaan akan turut menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan cukai barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen