Semakan semula SST perkukuh kedudukan fiskal negara, kata KRI


Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentang Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 13 Oktober, 2023.

LANGKAH kerajaan menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8% daripada enam peratus di bawah Belanjawan 2024 akan memperkukuh kedudukan fiskal negara selain mengurangkan kesan kepada isi rumah, menurut Khazanah Research Institute (KRI).

Pengerusinya Mohamed Yakcop berkata langkah-langkah rasionalisasi subsidi serta perluasan dasar cukai membolehkan kedudukan fiskal negara kekal kukuh dalam menghadapi ketidakstabilan dan kompleksiti dalam arena antarabangsa pada masa ini.

“KRI yakin bahawa tumpuan kerajaan melalui keutamaan kepada reformasi struktur, terutamanya kepada penekanan langkah-langkah tanggungjawab fiskal dan pertumbuhan yang inklusif, adalah tepat pada masanya dan merupakan instrumen penting dalam pertumbuhan dan pembangunan Malaysia dalam jangka masa panjang.

“Kami menantikan pengumuman kerajaan mengenai mekanisma terperinci terhadap penyusunan subsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 hari ini berkata kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8% ketimbang 6% dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Nor Mohamed berkata KRI turut menyambut baik langkah-langkah menggerakkan agenda transformasi industri negara yang selari dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Peralihan ke arah insentif berperingkat adalah tepat dan mampu menempatkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mencipta kluster ekonomi baharu, memperluas hubungan domestik dan memastikan kelestarian alam sekitar.

“Kami yakin Belanjawan 2024 akan membawa Malaysia ke arah pertumbuhan yang melindungi kesejahteraan rakyat, pada masa yang sama memperkukuh agenda transformasi ekonomi dan industri negara,” katanya. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen