Belanjawan 2024: KKM terima peruntukan RM41.2 bilion, peningkatan terbesar


Kata Anwar, RM5.5 bilion daripada peruntukan KKM bagi perolehan bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menjadi antara kementerian yang menerima peningkatan peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2024 sebanyak RM41.2 billion untuk  tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini berkata sejumlah RM5.5 bilion daripada jumlah itu adalah bagi perolehan bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

Selain itu katanya, beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan tahun depan termasuk Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi dan kerja awalan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru di Johor.

“Selain itu, projek Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan dan bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Azizi, Universiti Putra Malaysia, Serdang di Selangor.

“Lima klinik kesihatan (KK) baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan di Jerantut, Pahang: Kuala Jengal di Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud di Sabah,” katanya.

Ini adalah belanjawan kedua dibentangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar yang juga menteri kewangan.

Dalam pada itu, sebagai komitmen kerajaan perpaduan untuk membaik pulih klinik-klinik daif, sejumlah RM300 juta disediakan untuk 400 klinik uzur yang masih mempunyai struktur kayu dan pendawaian usang.

Anwar turut mengumumkan peruntukan RM766 juta untuk perolehan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang tidak lagi menjimatkan untuk diperbaiki di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.

Perdana menteri berkata kerajaan turut menyediakan RM150 juta untuk menyelenggara sistem teknologi maklumat kerana hanya 3%p KK di negara ini dilengkapi dengan rekod kesihatan digital dan rekod digital amat penting bagi mewujudkan capaian data pesakit dengan pantas.

Anwar berkata bagi melindungi rakyat supaya kekal afiat, perkhidmatan kesihatan hendaklah beralih daripada merawat pesakit kepada memperhebatkan aktiviti pencegahan penyakit dan Agenda Nasional Malaysia Sihat.

“Sebagai usaha membendung risiko kesihatan, kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk  tembakau kunyah pada kadar 5% ditambah, RM27 sekilogram seperti duti eksais yang dikenakan ke atas tembakau snuff.

“Kadar duti eksais semasa bagi minuman bergula dinaikan daripada 40 sen seliter kepada 50 sen seliter dan hasil duti itu disalurkan semula untuk menangani dan merawat penyakit kencing manis serta sokongan kepada pusat dialisis,” katanya.

Perdana menteri berkata Skim Perubatan Madani juga diperluaskan ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta yang memberi manfaat kepada 700,000 rakyat, selain RM50 juta disediakan untuk tuntutan kos peranti perubatan seperti ‘stent’ untuk jantung. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen