Palestin: Tanah yang menjanjikan persengketaan


Mohd Azizi Jaeh

Sejak negara Israel didirikan di atas tanah Palestin pada 14 Mei, 1948 sudah tidak ada lagi rasa aman bagi penduduk di Semenanjung Gaza mahupun Tebing Barat. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2023.

APABILA menyentuh tentang konflik Arab-Israel, maka terbayang pada imaginasi penulis tentang satu perkataan iaitu tanah. Tanah mempunyai pengertian dan simbol untuk menggambarkan suasana damai atau derita kehidupan sesebuah bangsa.

Sejak negara Israel didirikan di atas tanah Palestin pada 14 Mei, 1948 sudah tidak ada lagi rasa aman bagi penduduk di Semenanjung Gaza mahupun Tebing Barat.

Perang yang tercetus pada 7 Oktober lalu (dinamakan sebagai Operasi Banjir Al-Aqsa) merupakan siri peperangan berulang antara kedua-dua belah pihak.

Cuma bezanya sepanjang tempoh 75 tahun, perang yang berlaku sama ada dalam skala yang besar atau kecil serta penamaan operasi/gerakan yang dilancarkan adalah berbeza. Contohnya nama Intifada Pertama digerakkan oleh Hamas pada 1987 dan Perang Saif Al-Quds merupakan nama perang yang tercetus pada 2021.

Sebenarnya tiada hari tanpa perang buat masyarakat di Palestin. Setiap hari mereka berada dalam mod peperangan dan kesedihan. Segalanya lebih berkisar tentang pertikaian hak milik tanah.

Bahkan isu Baitulmaqdis (tanah suci bagi ketiga penganut agama Samawi –Yahudi, Kristian dan Islam) menonjolkan perebutan dan permusuhan antara Islam Palestin dengan Yahudi Zionis sangat meruncing.

Tanah bukan sekadar sebuah kawasan yang menentukan sempadan fizikal seperti yang terlakar di atas sebuah peta, malah lebih daripada itu. Tanah melambangkan pemilikan, autonomi, identiti, salasilah keturunan dan kedaulatan negara yang pantang sekali diusik.

Tanah juga mencerminkan perasaan dan naluri yang mendalam. Tidak menghairankan sejarah kedatangan Yahudi ke Palestin didasari atas kerinduan yang tebal kepada tanah asal nenek moyang mereka.

Impian manusia bernama Theodore Herzl pada 1897 untuk Yahudi membina negara tercapai dalam tempoh kira-kira 50 tahun berikutnya pada 1948. Namun, keadaan bertambah sulit apabila perang mendapatkan tanah tidak menunjukkan tanda akan berakhir. Palestin tidak mengalah dan terus menuntut wilayah mereka dikembalikan.

Bayangkan untuk membina dua entiti negara iaitu the Jewish state dan the Palestinian state melalui cadangan two state solution di atas sebuah tapak tanah. Cadangan Amerika Syarikat menerusi pelan damai seperti Perjanjian Oslo 1993 seringkali menemui kegagalan.

Tanah yang asalnya didiami oleh Arab Palestin kemudiannya hendak dikongsi serta dipecahkan kepada dua bahagian bersama kaum pendatang – ia pastinya telah mencetuskan pertumpahan darah.

Kehilangan harta benda, menjadi pelarian, kehilangan kampung halaman serta putus hubungan keluarga merupakan tragedi menyayat hati kira-kira 2.4 juta penduduk Gaza dan 1.8 juta penduduk di Tebing Barat.

Sarjana kelahiran Palestin yang beragama Kristian Edward Said yang lantang dalam isu Palestin pernah menegaskan “there were villages. There were cities. There was Palestinian society before 1948. We do exist.”

Bagaimanapun, atas nama “tanah yang dijanjikan Tuhan” mengikut kepercayaan kaum Yahudi, mereka sanggup menggunakan kekerasan atas nama mempertahankan diri. Bermula sebagai pendatang, akhirnya menguasai sejumlah besar tanah dengan mengenakan pengusiran, perluasan dan tebusan di kalangan penduduk Arab.

Memang benar, ada tanah yang diduduki oleh masyarakat Yahudi bersifat sah ekoran dibeli semasa British mengambil alih Palestin menerusi mandat dari 1920-1948. British turut membenarkan komuniti Yahudi berhijrah untuk membeli tanah orang Arab Palestin.

Namun untuk membenarkan kewujudan negara Yahudi sebagai suatu yang tidak dapat dielakkan seperti dihujahkan sarjana mereka Dan Cohn-Sherbok merupakan hujah yang tidak masuk akal. Dan apakah tanah yang dibeli dahulu sepadan dengan jumlah tanah yang mereka kuasai sekarang.

Masakan Yahudi telah pun memiliki negara, manakala Palestin masih tidak diiktiraf sebagai negara berdaulat sampai sekarang.

Sejarah Deklarasi Balfour (1917) dan Churchill White Paper (1922) yang diusahakan British pada awalnya adalah bukan dasar untuk menukar bumi Palestin kepada negara Yahudi. Awalnya kemasukan imigran Yahudi dan perjuangan Zionis lebih menumpukan untuk membina national home atau homeland, bukan menubuhkan negara.

Nah di sinilah liciknya muslihat pertubuhan Zionis. Mereka menukar matlamat daripada “a national home for the Jewish people” kepada “Jewish state” selepas kekacauan Arab-Yahudi yang tidak dapat ditangani sebaiknya oleh British.

Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar bagaimana perencanaan Yahudi Zionis dapat menakluki tanah Palestin meskipun pada asalnya mereka hanyalah golongan imigran yang bertebaran (the Jews diaspora) di beberapa negara khususnya Eropah (misalnya dari Jerman, Russia, Perancis).

Sehingga kini masyarakat Yahudi berterusan membangunkan penempatan dan meluaskan perkampungan barunya. Lama kelamaan tanah Arab semakin mengecil. Kebanjiran pendatang Yahudi menimbulkan ketakutan penduduk Arab ekoran layanan kasar, serangan bersenjata daripada tentera IDF yang mencerobohi tanah mereka.

Sebelum Hamas melancarkan serangan ke atas Israel Sabtu lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu beberapa hari sebelum itu membentangkan peta baharu Israel ketika ucapannya di Perhimpunan Agung PBB. Peta yang diberi nama The New Middle East memaparkan kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat tampak sebahagian besarnya dimiliki Israel.

Namun, tindakan yang dilakukan Netanyahu itu mendatangkan ketegangan kenyataan kedua belah pihak kerana dianggap sebagai suatu kegilaan dan keghairahan Israel untuk menambah dan meluasakan tanah jajahannya.

Begitulah keramat dan emotifnya manusia demi memiliki tanah. Kerana sebuah tanah adik-beradik yang mempunyai pertalian darah juga tidak boleh mengelak dari berkelahi sehingga sanggup berbunuhan.

Apatah lagi, berkelahi untuk mendapatkan negara. Itulah analogi mudah yang oleh digambarkan tentang sengketa tanah di Palestin. – 14 Oktober, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen