TMJ kongsi detik cemas insiden tembakan di Bangkok


Kejadian tembakan rambang berlaku di pusat beli-belah Siam Paragon Mall di Bangkok petang semalam. – Gambar AFP, 4 Oktober, 2023.

TUNKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim lewat malam tadi berkongsi detik cemas ketika kejadian tembakan rambang berlaku di Siam Paragon Mall di Bangkok, semalam.

Tunku Ismail dalam catatan di Facebook berkata beliau dan keluarganya berada di lobi sebuah hotel berhampiran pusat beli-belah itu sebelum insiden berlaku.

“Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan.

“Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku,” kata Tunku Ismail dalam hantaran menerusi Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor.

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berada di Bangkok ketika itu bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Menurut Tunku Ismail, beliau menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatannya untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa mereka ke lokasi yang selamat serta jauh dari lokasi kejadian.

“Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia. Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor,” katanya.

Tunku Ismail berkata beliau juga menghubungi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan untuk memaklumkan apa yang berlaku selepas selamat berada di kedutaan.

Beliau bersyukur keluarga dan pasukannya selamat walaupun terlepas menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan JDT.

“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua.”

Bernama melaporkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tembakan di Siam Paragon Mall semalam.

Laporan itu menyebut polis Thailand mengesahkan dua individu masing-masing warga China dan Myanmar maut dalam kejadian berkenaan manakala lima lagi cedera.

Sebelum ini, laporan awal mengatakan tiga maut dalam kejadian itu.

Ketua Polis Negara Torsak Sukvimol berkata seorang suspek berusia 14 tahun di tingkat 3 pusat beli-belah itu sudah ditahan.

Duta Malaysia ke Thailand Jojie Samuel berkata pihak kedutaan sedang memantau rapat keadaan itu. – 4 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen