Jerebu selubungi Bangkok dan 42 wilayah lain


Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand berkata tahap pencemaran udara tidak sihat disebabkan oleh pencemaran udara di atmosfera. – Gambar Facebook, 4 Februari 2023.

JEREBU menyelubungi Bangkok dan 42 wilayah di Thailand pada Jumaat apabila skala PM2.5 direkodkan melebihi paras selamat iaitu 50 mikrogram setiap meter padu (ug/m3).

Wilayah yang terjejas termasuk Nonthaburi, Samut Prakan, Ayutthaya, Buriram, Chiang Mai, Chiang Rai dan Chon Buri.

Setakat 6 petang (waktu tempatan) Jumaat, bacaan indeks kualiti udara (AQI) Bangkok direkodkan pada 152 pada IQAir, menurut platform penjejakan kualiti udara Switzerland.

Bacaan AQI melebihi 100 dianggap ‘tidak sihat’, manakala bacaan melebihi 200 adalah ‘sangat tidak sihat’ sementara tahap yang melebihi 300 dikategori sebagai ‘berbahaya’.

Jabatan Kawalan Pencemaran menjelaskan, tahap pencemaran udara tidak sihat PM2.5 adalah disebabkan oleh pencemaran udara di atmosfera.

Orang ramai dinasihatkan untuk tinggal di dalam rumah dan mengurangkan aktiviti luar serta menggalakkan bekerja dari rumah.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan bahawa pencemaran udara akan berkurangan pada Sabtu. – Bernama, 4 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen