100 maut dalam kebakaran di majlis perkahwinan di Iraq


Askar dan petugas kecemasan berada di luar hospital besar Hamdaniyah di Al-Hamdaniyah, Iraq selepas 100 orang terbunuh dan lebih 150 cedera dalam kebakaran di sebuah majlis perkahwinan. – Gambar AFP, 27 September, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 100 orang maut manakala lebih 500 lagi cedera dalam insiden kebakaran di majlis perkahwinan di wilayah Nineveh di utara Iraq, lapor Agensi Anadolu pada Rabu.

Insiden berlaku di Dewan Perkahwinan Al Haytham di daerah Al-Hamdaniya yang dihadiri 800 tetamu, lapor media tempatan, memetik timbalan pengarah Jabatan Kesihatan Mosul, Ahmed Hamdani.

Agensi Berita Iraq (INA) melaporkan kebakaran berpunca daripada bunga api, lilin dan bahan lain yang digunakan semasa majlis berkenaan.

Pasukan bomba dan ambulans dari wilayah berhampiran dihantar ke lokasi kejadian.

Menteri Dalam Negeri Abdul Amir Al-Shammari turut menuju ke wilayah itu.

Kebakaran berlaku ketika pasangan pengantin sedang menari dan rakaman kejadian yang tular di media sosial, turut memaparkan orang ramai bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri.

– Bernama, 27 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen