IRAQ bersetuju melepaskan dana Iran bernilai AS$2.7 bilion yang dibekukan di negara Arab itu selepas Baghdad menerima pengecualian sekatan daripada Amerika Syarikat (AS), menurut pegawai kedua-dua negara, lapor Agensi Anadolu.
Ketua Dewan Perniagaan Bersama Iran-Iraq Yahya Al-e Es’hagh berkata Baghdad telah melepaskan AS$2.7 bilion hutang gas dan elektriknya.
Beliau berkata sebahagian daripada aset di Iraq itu akan diperuntukkan kepada jemaah haji Iran di Iraq dan sebahagian lagi akan digunakan untuk makanan ruji, memerik laporan media Iran.
Al-e Es’hagh berkata pelepasan dana ini akan membantu menstabilkan pasaran mata wang serta proses penyediaan komoditi asas di negara ini.
Terdahulu, seorang pegawai Iraq dalam kenyataan yang dipetik oleh media tempatan berkata Menteri Luar Fuad Hussein menerima kebenaran untuk mengeluarkan dana itu semasa pertemuannya dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken.
Pegawai itu berkata dana itu akan dipindahkan melalui Bank Komersial Iraq dan akan digunakan untuk perbelanjaan jemaah haji Iran dan bahan makanan yang diimport oleh Iran.
Pihak berkuasa Iran berkata antara AS$7 dan AS$8 bilion dana dibekukan di Iraq dan tidak dapat dilepaskan oleh Iraq ekoran sekatan AS.
Walaupun memiliki rizab minyak dan gas yang besar, Iraq masih bergantung kepada Iran untuk keperluan tenaganya, dengan negara jiran itu menyediakan satu pertiga daripada bekalan gas dan elektrik Iraq.
Akibat tidak dapat membuat pembayaran, Tehran memotong bekalan gas dan elektriknya ke Iraq beberapa kali dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang menyebabkan kekerapan gangguan di negara Arab itu.
Pada Jun tahun lalu, Iran menerima tunggakan AS$1.6 bilion daripada kerajaan Iraq untuk import gas asli selepas berbulan-bulan rundingan antara kedua-dua negara.
Korea Selatan juga memegang AS$7 bilion dana Iran berkaitan import minyak dari negara itu sebelum Mei 2019. – Bernama, 13 Jun 2023.
Komen