SEJUMLAH 50 anggota Daesh dan 168 ahli keluarga mereka dihantar pulang dari Syria ke Iraq semalam, kata seorang pegawai Iraq.
Pihak berkuasa Iraq “menerima 50 anggota Daesh daripada Pasukan Demokratik Syria (SDF)”, kata sumber yang tidak mahu namanya disiarkan.
SDF ialah tentera de facto Kurdish di kawasan itu, dan mengetuai pertempuran mengusir pejuang kumpulan Daesh daripada bahagian terakhir wilayah Syria pada 2019.
Mereka akan “menjadi subjek siasatan dan akan berdepan keadilan Iraq”, tambahnya.
Menurut pemantau konflik Syrian Observatory for Human Rights mereka ditahan di Hasakeh, timur laut Syria.
Selain itu, 168 ahli keluarga anggota Daesh dihantar pulang dari kem Al-Hol Syria untuk dipindahkan ke kem Al-Jadaa di selatan Mosul, tambah pegawai Iraq, di mana mereka akan menjalani rawatan psikiatri.
“Sebaik sahaja kami menerima jaminan ketua puak yang mereka tidak akan menerima tindakan balas, mereka akan dihantar pulang.”
Kem Al-Hol, di timur laut Syria yang dikuasai Kurdish, menempatkan kira-kira 50,000 orang termasuk ahli keluarga yang disyaki anggota Daesh.
Antaranya ialah rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal, pelarian Iraq serta lebih 10,000 warga asing yang berasal dari kira-kira 60 negara.
Pada Mac, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa penghantaran pulang warga asing yang ditahan di Al-Hol.
Hampir separuh daripada penduduk kem itu berumur di bawah 12 tahun dan “dilucutkan hak mereka, tidka berdaya, dan terpinggir”, kata Guterres dalam satu kenyataan semasa lawatan ke Iraq.
“Saya tidak ragu-ragu mengatakan kem terburuk yang wujud di dunia hari ini ialah Al-Hol, dengan keadaan paling teruk untuk orang ramai dan dengan penderitaan sangat besar bagi mereka yang terkandas di sana selama bertahun-tahun,” kata Guterres.
Sejak Mei 2021, ratusan keluarga dipindahkan dari Al-Hol ke Al-Jadaa di Iraq, dengan beberapa daripada mereka melarikan diri.
Penghantaran pulang ke Iraq ahli keluarga pejuang yang menyertai kumpulan ultra-radikal yang menguasai satu pertiga Iraq antara 2014 dan 2017 mencetuskan tentangan.
Pada Disember 2021, pihak berkuasa Iraq mengumumkan rancangan untuk menutup Al-Jadaa.
Tetapi sedikit kemajuan dicapai dan penempatan semula orang yang dipindahkan ke kawasan asal mereka terbukti mencabar dan mendorong tentangan daripada penduduk tempatan. – AFP, 4 Jun, 2023.
Komen