MENTERI Minyak Iraq Hayan Abdul-Ghani semalam mempelawa syarikat tenaga antarabangsa untuk membuat tawaran bagi kontrak penerokaan dan pembangunan gas asli di 11 blok di Iraq.
Daripada 11 blok itu lapan daripadanya terletak di wilayah Anbar di barat Iraq, masing-masing satu di wilayah utara Nineveh, wilayah Anbar dan Najaf, Anbar dan Nineveh, kata Abdul-Ghani dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.
Beliau berkata kementerian menyelesaikan persiapan untuk proses bidaan itu.
Iraq mula membuka sektor minyak dan gasnya untuk pelaburan asing pada 2009.
Pada Mei Abdul-Ghani berkata rizab minyak negara meningkat sebanyak 10 bilion tong dan rizab gas aslinya sebanyak lapan trilion kaki padu selepas tinjauan seismik tiga dimensi berhampiran Basra iaitu hab minyak utama yang terletak kira-kira 550 kilometer di selatan Baghdad.
Angka baharu itu akan meningkatkan rizab minyak mentah Iraq kepada kira-kira 155 bilion tong dan gas asli kepada kira-kira 140 trilion kaki padu.
Perlu diingatkan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum yang turut dianggotai oleh Iraq masih belum menerima secara rasmi angka baharu itu.
Ekonomi Iraq sangat bergantung kepada eksport minyak mentah yang menyumbang lebih 90 peratus daripada pendapatan negara. – Bernama, 19 Jun, 2023.
Komen