KERAJAAN Pulau Pinang menyokong sebarang insiatif ekonomi yang bermanfaat untuk negeri itu, termasuk pembentukan zon kewangan khas (SFZ) bagi wilayah utara, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Persekutuan masih belum mengumumkan butiran lanjut mengenai zon berkenaan mahupun untuk Forest City di Johor yang diumumkan sebelum ini.
“Saya meminta (badan pemikir) Penang Institute untuk mengkaji mengenai SFZ dan setakat ini tiada perincian berkaitan pelaksanaannya.
“Sudah semestinya sebarang inisiatif baharu bagi ekonomi akan memberi manfaat kepada negeri, namun (SFZ) ini sebenarnya di bawah bidang kuasa Persekutuan kerana membabitkan cukai dan insentif.
“Kami akan menunggu maklumat lanjut daripada kerajaan mengenainya,” katanya kepada pemberita di Butterworth, hari ini.
Mengulas lanjut, Chow berkata SFZ secara amnya boleh diwujudkan dalam pelbagai bentuk seperti zon perdagangan bebas (FTZ) atau zon komersial bebas yang ada di Pulau Pinang.
Pada 25 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan SFZ di Forest City serta beberapa insentif merangkumi visa masuk berbilang, kemudahan untuk mereka yang bekerja dari Singapura dan kadar cukai pendapatan 15% untuk pekerja mahir.
Ia disusuli dengan kenyataan ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyarankan supaya kerajaan mewujudkan zon sama di Pulau Pinang dengan tumpuan wilayah utara memandangkan peranan negeri itu sebagai hab pembuatan utama selain menyumbang cukai RM10 bilion kepada kerajaan Persekutuan.
Lim juga menyifatkan Pulau Pinang memiliki semua kelebihan saingan dan keperluan kritikal bagi sebuah negeri perindustrian yang akan memacu pertumbuhan sektor perkhidmatan, bukan hanya di wilayah utara tetapi seluruh negara.
Terdahulu Chow dan Lim melancarkan Kluster Sains Pulau Pinang @ Bagan yang juga sebuah pusat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam ekosistem STEM negeri itu.
Pusat itu menawarkan peluang pembelajaran teknikal dan akademik untuk pelajar, lepasan sekolah serta golongan dewasa. β Bernama, 23 September, 2023.
Komen