KEMENTERIAN Pengangkutan mengarahkan beberapa pelabuhan yang sudah mencapai kapasiti maksimum menyimpan barangan supaya memindahkan barangan bukan perlu ke gudang bagi memberi ruang untuk barangan perlu digerakkan segera.
Menterinya Wee Ka Siong berkata langkah itu akan memberi kelonggaran kepada pelabuhan di Klang, Pulau Pinang dan Pasir Gudang yang sudah mencecah hampir 100% kapasiti menampung kargo.
“Saya telah mengarahkan supaya pelabuhan yang berkaitan diberi pengecualian khas untuk memindahkan barangan yang bukan keperluan asas untuk dialihkan ke gudang (sementara) di luar pelabuhan agar memberi ruang supaya pemindahan barangan keperluan dapat dibuat serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemindahan itu akan dilakukan antara esok hingga Ahad (27 hingga 29 Mac ini), 24 jam sehari, tambahnya.
Kenyataannya menyusul laporan Malaysiakini mengenai kontena yang tersadai di pelabuhan sejak perintah kawalan pergerakan yang menghadkan pemindahan barangan bukan perlu.
Persekutuan Penghantar Fret Malaysia memberi amaran keadaan itu umpama “bom jangka” yang akan menjejaskan kecekapan dan kapasiti pelabuhan.
Menurut Wee, sepanjang tempoh tiga hari itu, pihak polis akan memberi kebenaran kenderaan pengangkut barangan ini bergerak.
Keputusan Putrajaya ini dibuat ketika ada rungutan bahawa petani di Cameron Highlands membuang sayur-sayuran mereka kerana sekatan jalan raya yang menyukar penghantaran.
Perintah kawalan pergerakan juga mengurangkan jumlah pekerja yang boleh mengangkat barangan.
Wee menjelaskan masalah logistik itu dibangkitkan dalam mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pagi ini. – 26 Mac, 2020.
Komen