ORANG ramai diminta membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berhubung video tular seorang kanak-kanak yang meluru ke jalan raya dan menahan kenderaan dipercayai berlaku di Pasir Gudang, Johor petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak, berkata video berdurasi 27 saat yang dirakam menggunakan kamera perakam video kenderaan itu, tular di laman Facebook portal berita hari ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku semalam pada jam 5.46 petang di Jalan Bandar, Pasir Gudang berhampiran Taman Tasik Layang-Layang.
“Bagaimanapun, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu dan berdasarkan video tiada sebarang kemalangan direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
Terdahulu, video itu memaparkan seorang kanak-kanak yang kelihatan seperti kanak-kanak lelaki secara tiba-tiba meluru ke lorong kanan jalan lalu menahan kenderaan dan kemudiannya terus beredar. – Bernama, 18 Januari, 2022.
Komen