Kebocoran kimia di kilang di Pasir Gudang terkawal, kata bomba


Kata Sarhan setakat ini keadaan terkawal dan tiada aduan orang awam berkait kesihatan diterima. – Gambar Facebook Bomba Johor, 23 Ogos, 2023.

KEBOCORAN bahan kimia jenis ‘Styrene Monomer’ dikesan di sebuah kilang beralamat di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Sarhan Akmal Mohamad berkata operasi tersebut melibatkan enam anggota dari BBP Pasir Gudang dan lapan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Larkin.

Beliau berkata BBP Pasir Gudang menerima maklumat berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada jam 5.21 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia di kilang itu,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kilang terbabit yang mempunyai Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) memerlukan bantuan Hazmat untuk menutup injap saluran tersebut dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Katanya, setakat ini keadaan di lokasi kejadian terkawal dan tiada laporan atau aduan diterima daripada orang awam sama ada mengalami gejala pening dan sebagainya akibat kejadian itu.

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu yang tular di media sosial kerana boleh menggugat ketenteraman awam serta menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat. – Bernama, 23 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen