Mana EIA projek Melaka Gateway, soal kumpulan alam sekitar


Noel Achariam

Projek Melaka Gateway bernilai RM42 bilion itu dilancarkan pada 2014 oleh bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2023.

KUMPULAN alam sekitar yang berpangkalan di Melaka mempersoalkan kesahihan projek mega Melaka Gateway bernilai RM43 bilion yang akan dihidupkan semula, dan mempersoalkan sama ada penilaian kesan alam sekitar (EIA) dilakukan.

Save Our Seashores Malacca (SOS) juga mempersoalkan sama ada EIA, jika ada, diluluskan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi SOS Martin Theseira berkata projek itu menyalahi undang-undang jika ia diteruskan tanpa EIA yang sah.

Theseira tertanya-tanya bagaimana kerajaan negeri meluluskan projek itu jika tiada EIA dibentangkan.

“Kita mesti mematuhi undang-undang. Ini (EIA) adalah yang paling penting bagi pembangunan.

“Kami sudah lama meminta dialog dengan kerajaan negeri dan pemaju diadakan, tetapi tidak berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Theseira berkata bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pada 8 Ogos tahun lepas yang kontraktor Melaka Gateway KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) masih belum mengemukakan EIA seperti yang dikehendaki di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Bagaimanapun, pada Isnin Pengerusi Eksekutif KAJD Daing A Malek Daing A Rahaman mengumumkan projek itu dihidupkan semula dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan dan Melaka.

Beliau berkata pembangunan itu akan disambung semula dengan pembinaan Terminal Pelayaran Persiaran Antarabangsa Melaka.

Daing A Malek berkata terminal antarabangsa itu dijangka membawa kira-kira 3.5 juta pelancong ke Melaka Gateway setiap tahun.

Theseira, yang juga pengerusi Save Portuguese Community Action, berkata SOS akan membincangkan tindakan undang-undang dengan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada 23 September.

“Kami tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju kerana tidak mengeluarkan EIA, serta kerajaan Melaka kerana membenarkan projek itu.

“Kami akan mendapatkan nasihat dan mengkaji untuk mendapatkan peguam alam sekitar mengenai isu ini.”

Theseira berkata projek itu menimbulkan kesan buruk terhadap alam sekitar ke atas perkampungan komuniti Portugis, yang kebanyakan penduduknya adalah nelayan.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 1,200 keluarga termasuk 150 nelayan terjejas akibat projek itu.

Minta bantuan menteri

Theseira berkata pada April, SOS menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Antara cadangan yang dikemukakannya ialah moratorium ke atas semua kelulusan EIA untuk projek tebus guna sehingga audit alam sekitar selesai.

“Menjalankan audit alam sekitar seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 33A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk mengkaji tahap terkini pencemaran di kawasan projek tebus guna di negeri Melaka dan mencadangkan langkah-langkah mitigasi,” demikian tuntutan dalam memorandum itu.

SOS berkata Jabatan Alam Sekitar perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan projek penambakan sebelum ini berdasarkan EIA dan cadangan Langkah Pencegahan dan Mitigasi Pencemaran.

“Mengadakan sesi penglibatan dan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan … untuk mengenal pasti langkah dan penyelesaian mitigasi yang sesuai.

“Pastikan EIA dimaklumkan secara meluas terutama kepada penduduk setempat dan wakil rakyat. Semua EIA mesti dimuat naik ke laman web dan harus dimuat turun oleh pembaca,” kata memorandum itu. – 16 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen