Apa status sebenar projek PJD Link, soal penduduk


Noel Achariam

Penduduk Petaling Jaya yang membantah projek PJD Link mendakwa perunding yang dilantik pemaju memaklumkan ia adalah penjenamaan semula Kidex yang dibatalkan pada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari 2023.

PENDUDUK Petaling Jaya sekali berang dengan usaha terbaharu kerajaan negeri Selangor untuk meneruskan projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) selepas menetapkan syarat kelulusan.

Mereka dimaklumkan perunding yang dilantik pemaju mula mengumpul maklumat daripada penduduk untuk Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), kata Gabungan Membantah PJD Link.

“Status projek ini merisaukan kami. Sebelum pilihan raya lalu, ahli-ahli politik kata projek ini tidak akan diteruskan jika ia sama seperti Kidex (Lebuhraya Kinrara Damansara).

“Semua ini mencetus ketegangan dan kebimbangan kepada penduduk kerana kami sudah pun minta projek ini dibatalkan,” kata pengerusinya Sheikh Moqhtar Kadir kepada The Malaysian Insight .

Beliau mendakwa perunding yang dilantik pemaju memaklumkan kepada jawatankuasa masjid di kawasan itu PJD Link adalah penjenamaan semula Kidex.

“Tetapi bekas menteri besar Selangor batalkan Kidex pada 2015, dan ia dikeluarkan daripada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

“Pembatalan itu juga direkodkan dalam hansard sidang DUN Selangor pada 2015,” jelasnya.

Pada Julai tahun lalu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberi jaminan kerajaan negeri akan menolak sebarang cadangan projek pembangunan lebuh raya sekiranya ia tidak mendatangkan faedah kepada rakyat.

Amirudin juga menafikan Selangor memberi kelulusan kepada pemaju untuk meneruskan projek PJD Link.

Pengerusi Gabungan Membantah PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari 2023.

Kemudian pada Ogos lalu, Sheikh Moqhtar menggesa menteri kerja raya ketika itu Fadillah Yusof menjelaskan bagaimana projek PJD Link boleh lulus sedangkan projek yang mirip dengannya, Kidex telah pun dibatalkan sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan projek PJD Link, Lebuhraya Putrajaya-Bangi (PBE) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL Node) telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri.

Fadillah bagaimanapun berkata pemaju PJD Link mesti mengemukakan laporan penilaian berkaitan, selain projek tersebut perlu mendapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri Selangor.

Laporan penilaian juga perlu dibentangkan semula kepada kerajaan negeri yang seterusnya akan dibawa kepada Kementerian Kerja Raya untuk mendapatkan kelulusan muktamad, katanya.

Tambah beliau laporan perlu dikemukakan selewat-lewatnya 5 April tahun ini, iaitu setahun selepas perjanjian konsesi ditandatangani. 

Mengulas lanjut Sheikh Moqhtar berkata jika benar kerajaan negeri tidak memberi kelulusan kepada pemaju PJD Link seperti yang dikatakan Amirudin pada Julai lepas, maka ia harus dibatalkan terus.

“Kami berharap perdana menteri dalam campur tangan dalam hal ini agar ia dapat diselesaikan segera.

“Perkara ini tidak boleh ditangguhkan, sudah berlarutan dari 2015 hingga sekarang. Mesti ada keputusan muktamad.

“Atas alasan apa menteri kerja raya luluskan projek tahun lepas? Kami bingung,” katanya, menambah penduduk menerima surat oleh perunding yang dilantik pemaju, meminta mereka menghadiri taklimat berkenaan SIA.

Sheikh Moqhtar berkata isu ini akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kerja Raya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kami akan tulis surat kepada PM, mohon beliau campur tangan kerana ia sudah lama berlarutandan menggesa projek ini dibatalkan segera.” – 19 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen