Penduduk Kampung Sungai Baru rayu campur tangan Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Sidang media diketuai bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pagi tadi juga memohon PErdana Menteri Anwar Ibarhim mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampugn Sungai Baru untuk mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Disember, 2022.

PENDUDUK Kampung Sungai Baru di Kampung Batu, Kuala Lumpur berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat campur tangan membantu mereka menuntut pampasan yang sewajarnya selepas diarahkan pemaju untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Dalam sidang media pagi tadi, penduduk terbabit merayu Anwar mengarahkan notis pengusiran yang dikeluarkan minggu lalu itu dibatalkan.

Sidang media diketuai bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad itu juga memohon Anwar mengadakan pertemuan bersama penduduk untuk mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi.

“Sebagai perdana menteri, kami merayu kepada Anwar Ibrahim untuk mendengar sendiri luahan penduduk Kampung Sungai Baru yang baru sahaja menerima notis pengusiran minggu lepas.

“Penduduk diberi tempoh 30 hari untuk berpindah tetapi tidak diberi pampasan yang sewajarnya. Ini tanah mereka, pemaju boleh buat untung, tetapi kenapa tidak boleh beri layanan yang adil kepada penduduk?

“Sebagai perdana menteri, Anwar mempunyai kuasa untuk membatalkan notis tersebut kerana ia bukan arahan mahkamah,” kata Khalid.

Kementerian Wilayah Persekutuan dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan selepas distruktur semula dari segi pentadbiran dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Penduduk Kampung Baru sebelum ini pernah merayu kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob agar masalah mereka diberi perhatian.

Dalam laporan The Malaysian Insight April lalu, penduduk di Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru enggan berpindah walaupun diberi notis pengusiran susulan pengambilalihan tanah oleh pemaju.

Seramai 38 pemilik rumah pangsa di Kampung Sungai Baru itu menuntut pampasan lebih tinggi daripada tawaran RM250,000 dari pemaju yang sudah mengambil alih tanah berkenaan. Penduduk flat PKNS itu berkata tiada kediaman yang mampu dibeli dengan nilai itu di sekitar Kuala Lumpur.

Kawasan itu terletak berhampiran dengan Jambatan Saloma, jambatan baharu yang dibina selepas kediaman mewah Legasi Kampong Bharu dibina bersebelahan stesen LRT.

Penduduk Kampung Baru sebelum ini pernah merayu kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob agar masalah mereka diberi perhatian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Disember, 2022.

Nilai yang ditawarkan pemaju tiga kali ganda lebih rendah berbanding anggaran oleh penilai swasta lantikan mereka yang menganggarkan kadar RM1,500 sekaki persegi, atau RM600,000 seunit, kata penduduk.

Selain blok kediaman flat, kawasan dengan baki pajakan sekitar 57 tahun lagi itu turut merangkumi kira-kira 98 unit rumah teres lagi di atas tanah berkeluasan 5.5 ekar.

Pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd memulakan tawaran sejak 2016 untuk membangunkan kawasan itu melalui kaedah usaha sama (JV) kepada penduduk.

Sejak tempoh itu hingga 2020, difahamkan pemaju sudah berjaya mendapatkan persetujuan daripada 226 pemilik unit flat dan 27 pemilik kediaman rumah teres di kawasan itu.

Cadangan pembangunan itu melibatkan penempatan semula semua penduduk flat dan teres dan di blok pangsapuri selain pembinaan unit komersial kondominium mewah beserta pejabat dan kedai.

Pemaju menilai pangsapuri yang bakal diterima oleh pemilik itu berkeluasan sekitar 900 hingga 1,200 kaki persegi bernilai antara RM850,000 hingga RM1.2 juta.

Kira-kira 38 pemilik unit flat dan 71 pemilik teres enggan menerima perjanjian kerana pemaju didakwa gagal menyediakan dokumen untuk mengesahkan perkara itu. – 26 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen