Pekerja Kesatuan United Auto mogok 


Kesatuan United Auto Workers di Amerika Syarikat pada awal Jumaat mengumumkan mogok di tiga kilang utama pembuat kereta AS, Ford, Stellantis dan General Motors.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2023.

KESATUAN United Auto Workers (UAW) di Amerika Syarikat (AS) pada awal Jumaat mengumumkan mogok di tiga kilang utama pembuat kereta AS, Ford, Stellantis dan General Motors, telah bermula.

“Mogok UAW bermula di tiga “Big Three”, menurut kesatuan itu dalam siaran di platform media sosial X, (Twitter).

Presiden UAW, Shawn Fain, dalam ucapan video di media sosial lewat Khamis berkata: “mogok akan bermula pada tengah malam jika kami tidak mencapai persetujuan tentatif dalam tempoh dua jam akan datang dengan pembuat kereta,” lapor Sputnik.

“Sejak 24 jam lepas, kami telah berunding dengan Ford, General Motors dan Stellantis. Buat kali pertama dalam sejarah kesatuan, kami dapatkan ketiga-tiga syarikat berunding di sini, di ‘Solidarity House’, menjelang jam terakhir cadangan mogok kami. Kami telah bekerja keras untuk mencapai perjanjian untuk keadilan ekonomi dan sosial ahli kami,” kata Fain.

 UAW menuntut tawaran kontrak yang saksama daripada Ford, Chrysler dan General Motors, yang sering dirujuk sebagai Big Three, termasuk kenaikan gaji sebanyak 46 peratus dan pengurangan minggu kerja kepada 32 jam.

Dalam rundingan itu, General Motors bersetuju menawarkan kenaikan gaji 10 peratus, Stellantis - yang memiliki Chrysler - menawarkan 14.5 peratus, dan Ford mencadangkan kenaikan gaji 9 peratus dan jumlah sekali gus 6 peratus akan ditambah kemudian.

Fain menyifatkan tawaran itu sebagai “memalukan dan menghina”. – Bernama, 15 September, 2023.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen