Mara belanja RM70 juta bantu usahawan automotif


Mahdzir berkata, program khas PUMP dan AGE dibangunkan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang automotif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2021.

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) sudah membelanjakan kira-kira RM70 juta menerusi Mara Integrated Smart Auto (Misa) bagi membantu usahawan dalam bidang automotif mengembangkan perusahaan sejak ia mula diperkenal pada 2013.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid, berkata hingga kini, seramai 48 usahawan automotif di seluruh negara sudah mendapat manfaat daripada program itu yang menawarkan had pembiayaan maksimum RM1 juta.

“Ekosistem lengkap Mara dalam membangunkan industri automotif bermula dengan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyediakan program automotif pelbagai peringkat hingga kepada penyediaan fasiliti keusahawanan, latihan, bantuan pembiayaan serta khidmat nasihat.

“Malah skim pembiayaan khas bagi usahawan automotif melalui Misa juga disediakan khusus untuk usahawan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan dan menaik taraf bengkel mereka,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, beberapa program khas turut dibangunkan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang itu antaranya program pembangunan usahawan automotif Mara Petronas (PUMP) dan program khas Auto Glass Expert (AGE).

Mahdzir juga berkata, automotif adalah antara bidang TVET yang mendapat sambutan memberangsangkan dan memfokus kepada dua elemen utama iaitu melahirkan tenaga kerja profesional serta berkemahiran selain membimbing individu yang berminat untuk menjadi usahawan automotif.

Beliau berkata, Mara menyediakan pelbagai bantuan termasuk pembiayaan bagi pembelian peralatan, modal pusingan, pengubahsuaian bengkel dan latihan peningkatan perniagaan.

Katanya, Mara akan terus komited membantu usahawan berminat mengembangkan sayap perniagaan supaya lebih berdaya saing dan maju. – Bernama, 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen