Toyota lanjut tempoh tutup kilang di China


Toyota melanjutkan tempoh penutupan kilang di China susulan wabak koronavirus. – Gambar AFP, 7 Februari, 2020.

GERGASI automotif Jepun, Toyota hari ini berkata akan melanjutkan penutupan kilangnya di China selama seminggu lagi sehingga 16 Februari susulan wabak koronavirus.

“Selepas mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk garis panduan daripada kerajaan tempatan dan daerah ... kami memutuskan untuk terus menggantung pengeluaran kami di semua kilang Toyota di China sehingga 16 Februari,” kata jurucakap Aaron Fowles kepada AFP.

Firma Jepun itu sebelum ini berkata kilangnya akan ditutup sehingga 9 Februari.

Virus ini kini meragut lebih 630 nyawa, terutamanya di China, tetapi turut merebak ke beberapa negara lain dan menjejaskan rangkaian bekalan global.

Fowles berkata Toyota akan membuat keputusan selanjutnya sama ada untuk menyambung tempoh penutupan kilang, bergantung kepada perkembangan situasi virus.

“Bagi pengeluaran di negara lain, kami sedang menyiasat jika ia memberi kesan,” katanya.

Bos Fiat, Chrysler Mike Manley memberitahu Financial Times pada Khamis yang firmanya mungkin menghentikan pengeluaran di kilang Eropah kerana masalah bekalan dari China - syarikat pengeluar kereta Eropah yang pertama berbuat demikian.

Hyundai milik Korea Selatan juga menggantung operasi di Ulsan yang merupakan kilang kereta paling produktif di dunia. – AFP, 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen