Kilang automotif dibenarkan beroperasi semasa PKP


Kerajaan memutuskan pembuatan automotif disenaraikan di bawah perkhidmatan penting selepas Honda dan Toyota menutup kemudahannya di negara ini. – Gambar EPA, 16 Januari, 2021.

KILANG pemasangan kereta di negara ini boleh menyambung semula pengeluarannya dengan penwartaan terbaru Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Perintah Kawalan Pergerakan) (Pindaan) 2021.

Warta itu menyenaraikan pembuatan automotif sebagai antara perkhidmatan penting yang akan dibenarkan beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Peruntukan yang membolehkan operasi pemasangan kereta itu disenaraikan sebagai Perkara 2 di bawah Sektor Pengilangan dan Pembuatan.

Berikutan ketidakpastian berhubung sektor itu, dua pengeluar semalam berkata mereka menutup kilang di negara ini.

Toyota dan Honda berkata akan menghentikan sementara operasi kilang di Malaysia kerana PKP 2.0, lapor Nikkei Asia.

Ini kerana pemasangan automotif dianggap sebagai industri tidak penting, yang tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP.

Laporan itu berkata Honda menutup dua kemudahannya pada Rabu sementara Toyota mengambil tindakan yang sama pada Khamis.

Honda merancang memulakan semula operasi pada 26 Januari, yang juga merupakan tarikh akhir PKP.

Toyota sebaliknya berkata “keputusan akan dibuat kemudian”.

Perodua juga menghentikan pengeluaran pada Khamis.

Pembuat kereta nasional kedua menjual 220,000 kenderaan tahun lalu, menguasai lebih 40% bahagian pasaran.

Pemasangan automotif pada awalnya disenaraikan sebagai industri penting, tetapi kemudian dikeluarkan daripada senarai pada saat-saat terakhir.

Malaysia adalah pengeluar kenderaan ketiga terbesar di Asia Tenggara, selepas Thailand dan Indonesia.

Pengeluaran industri ini turun kira-kira 19% kepada 430,000 kenderaan dalam sebelas bulan pertama tahun 2020.

Pada 2019, Toyota mengeluarkan kira-kira 61,000 kenderaan di Malaysia, sementara kapasiti tahunan Honda adalah 300,000 beroda dua dan 100,000 kenderaan beroda empat.

Pada Isnin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melaksanakan semula PKP di enam negeri dari 13 hingga 26 Januari.

PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, wilayah persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah sementara PKP bersyarat dilaksanakan di Pahang, Perak, Negrri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Perlis dan Sarawak, yang mempunyai kes Covid-19 aktif paling sedikit pada masa ini, akan kekal dalam fasa PKP pemulihan. – 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen