Pembebasan Zahid akan digunakan dalam kempen PRK Pelangai, kata Tuan Ibrahim


Noel Achariam

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan pembebasan Zahid Hamidi akan digunakan sebagai peluru kempen pada PRK Pelangai di Pahang akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2023.

KEPUTUSAN membebas tanpa melepaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 pertuduhan rasuah akan digunakan sebagai peluru kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai di Pahang akan datang, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata isu itu akan dimainkan untuk menarik perhatian dalam PRK itu.

“Ia akan menjadi satu pembaziran bagi mereka yang tidak mengambil peluang (untuk memanfaatkan isu itu),” katanya.

Kerusi Pelangai kosong berikutan kematian penyandangnya Johari Harun daripada Barisan Nasional dalam nahas pesawat pada 17 Ogos.

Tuan Ibrahim berkata selain isu DNAA Zahid mereka juga akan membangkitkan isu lain berkaitan kepentingan negara dan awam.

Beliau juga menambah peguam negara perlu memberi penjelasan mengapa pendakwaan dihentikan.

Minggu lalu AGC berkata terdapat alasan kukuh untuk meminta DNAA dalam kes Zahid.

Pihak pendakwaan berkata ia mahu menghentikan prosiding bagi memberi laluan kepada siasatan lanjut kes itu.

Sementara itu Tuan Ibrahim mengalu-alukan keputusan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan gabungan Pakatan Harapan-BN.

“Kami mengalu-alukan mana-mana ahli parlimen yang berprinsip,” katanya.

Pada Ahad Syed berkata beliau akan duduk di bangku pembangkang berkuat kuasa serta-merta untuk membantah keputusan pendakwa raya minggu lepas menggugurkan 47 pertuduhan terhadap Zahid.

Ahli Parlimen Muar itu mengesahkan Muda kini akan menjadi kuasa ketiga dalam pembangkang.

“Ini (menggugurkan pertuduhan rasuah) adalah permulaan untuk menormalkan rasuah.

“Kami tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan langkah tidak berprinsip ini.

“Biarlah saya dihukum daripada saya hilang prinsip dan melakukan dosa besar,” katanya. – 14 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen