Rafizi tepis dakwaan kerajaan perpaduan tumbang selepas PRN


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menepis kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru bahawa PRN kali ini boleh menggugat kerajaan pusat jika Perikatan Nasional mampu menang di lima daripada enam negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun 2023.

MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli hari ini menepis dakwaan kerajaan pusat pimpinan Anwar Ibrahim akan tumbang selepas pilihan raya negeri (PRN).

“Secara logiknya bagaimana perkara ini boleh berlaku selepas pilihan raya negeri? Undi tidak percaya tidak akan berlaku, lompat parti tidak boleh, dan sekiranya blok besar meninggalkan kerajaan perpaduan, kerajaan masih kekal, ia ‘numerically difficult’,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus Kementerian Ekonomi dan Jabatan Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Razifi yang juga timbalan presiden PKR berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang dilaporkan berkata PRN kali ini amat unik dan boleh menggugat kerajaan pusat jika Perikatan Nasional (PN) mampu memperolehi kemenangan di lima daripada enam negeri yang akan mengadakan PRN.

PRN akan berlangsung di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bagi menghadapi PRN berkenaan, Rafizi berkata setakat ini rundingannya hampir 98% selesai.

“Ada sedikit pertindihan namun ia akan dimuktamadkan kemudian,” katanya. – Bernama, 20 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen