PAS sedia jika PRK Kuala Terengganu serentak dengan PRN


Tuan Ibrahim berkata senarai calon PAS bagi PRN di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan hampir selesai akan diputuskan oleh pesuruhjaya PAS negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

PAS bersedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu sekiranya ia diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya tidak mempunyai masalah kerana jentera parti sudah bersedia susulan PRN yang akan berlangsung di enam negeri.

“Terengganu sememangnya antara negeri yang akan menghadapi PRN justeru tidak menjadi isu sekiranya pilihan raya kecil dijalankan serentak, jentera sudah bersedia,” katanya.

Terdahulu, peguam Wan Rohimi Wan Daud memaklumkan PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas yang membatalkan kemenangan calon parti itu Ahmad Amzad Hashim dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata senarai calon PAS bagi PRN di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan hampir selesai dan akan diputuskan oleh pesuruhjaya PAS negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – Bernama, 8 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen