Pilihan raya gagal satukan rakyat


G Manimaran

KITA baharu sahaja menyambut ulang tahun hari kemerdekaan, kali ke-66. Pada tanggal 16 September kita akan menyambut ulang tahun pembentukan Malaysia. Kedua-dua sambutan itu penting lagi signifikan.

Setiap sambutan mempunyai tema masing-masing yang bertujuan mengeratkan semangat kekitaan, sekali gus menjadi sumber kekuatan kepada perpaduan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam erti kata lain, yang sebenar, ia bertujuan mengisi semangat hari kebangsaan negara.

Salah satu pengisian erti kemerdekaan ialah pilihan raya. Pilihan raya sebahagian daripada empat komponen utama amalan demokrasi. Ia memperlihatkan sebahagian daripada ciri-ciri sebuah negara demokratik dan negara yang mengamalkan demokrasi.

Pemimpin-pemimpin kita terdahulu, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, telah memperjuangkan kemerdekaan untuk memimpin negara ini ke arah lebih baik mengikut jati diri kita. Sudah pasti kemerdekaan diperjuangkan untuk memimpin negara ini mengikut acuan sendiri dengan membawa setiap anggota masyarakat dan warganegara.

Itulah tujuan asal dan niat murni bersama.

Negara telah juga menyempurnakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), fasa pertama melibatkan pemilihan kerusi parlimen dan tiga buah negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang pada 19 November lalu, dan baru-baru ini, melibatkan baki enam buah negeri – Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos lepas.

Format dan bentuk perjalanan PRU15 buat julung kali memperlihatkan kelainan dan keunikan tersendiri dalam sejarah pilihan raya dan amalan demokrasi di Malaysia. Sebelum itu Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor telah mengadakan pilihan raya umum – mengejut dan normal – secara berasingan.

Keunikan dan kelainan itu tanda-tanda awal umum menandakan kesatuan, solidariti dan perpaduan sudah luntur? Saya harap tidak.

Tetapi pada masa yang sama saya melihat ada sesuatu yang tidak kena apabila membicarakan mengenai perpaduan dalam kalangan rakyat.

Kita kena menyemak semula tujuan pilihan raya diadakan. Apakah pilihan raya kita telah gagal untuk mencapai matlamat akhir yang sebenar.

Dalam setiap demokrasi, pilihan raya berlaku secara teratur. Pada hari ini terdapat lebih 100 buah negara yang mengadakan pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat atau pemimpin mereka. Setiap negara memperlihatkan kelainan tersendiri bersandarkan kepada sistem pilihan raya dan pemilihan masing-masing.

Pilihan raya ialah satu proses standard yang memboleh dan menyediakan hak kepada rakyat iaitu pemilih untuk membuang undi dan memilih wakil mereka,  yang berbeza mengikut kehendak dan keperluan masing-masing.

Pilihan raya adalah asas demokrasi, yang membolehkan setiap warga dewasa sesebuah negara memilih wakil rakyat untuk menjadi suara mereka di dewan perundangan.

Mengikut perlembagaan dan kerangka perundangan pilihan raya itu satu proses berkala yang menyediakan platforum kepada setiap warganegara yang berstatus pengundi atau pemilih untuk mengundi pemimpin baharu, memberikan mandat untuk memulakan pentadbiran kerajaan baharu.

Setakat ini, kita di Malaysia telah menyaksikan lebih satu dozen PRU peringkat parlimen dan negeri. Pada masa yang sama, lebih 100 pilihan raya kecil (PRK) juga telah dilangsungkan. Dan, kita sedang menyaksikan persaingan untuk dua PRK, kedua-duanya di Johor. PRK untuk kerusi Parlimen Pulai dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. PRK DUN Pelangai di Pahang akan diadakan pada 7 Oktober.

Mengikut pengalaman-pengalaman lalu, saya percaya ia akan disusuli dengan siri PRK dan PRU yang akan diadakan disebabkan kekosongan mengikut jadual dan mengejut. Ia perlu diadakan bagi memenuhi keperluan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

Pilihan raya merupakan salah satu komponen penting dalam demokrasi yang membolehkan rakyat memilih wakil mereka yang akan menjadi suara di dewan perundangan. Malah lebih penting menggunakan mandat dan suara demi kepentingan massa, bukan kepentingan sempit dan sekumpulan kecil penyokong mereka.

Pilihan raya adalah penting atas beberapa sebab. Pilihan raya adalah alat demokrasi secara langsung yang paling berkuasa kerana ia menggalakkan rakyat memilih wakil mereka, yang kemudiannya meluluskan undang-undang bagi pihak mereka.

Rakyat akan memilih siapa yang akan membentuk kerajaan dan membuat keputusan penting. Mereka akan memilih parti yang polisinya akan memandu pembentukan kerajaan dan undang-undang.

Pilihan raya memberikan rakyat peralihan kuasa secara aman daripada satu bentuk kerajaan ke bentuk kerajaan yang lain. Pilihan raya menggalakkan rakyat melibatkan diri dalam hal ehwal negara mereka sambil kekal aktif dan berwaspada dari segi politik.

Justeru itu, proses pilihan raya mewajibkan wakil rakyat – anggota dewan perundangan bertindak demi kesejahteraan rakyat. Itu tanggungjawab, fungsi dan peranan wakil rakyat. Pemimpin politik yang tidak terpilih dan tidak bertanding juga mempunyai peranan dan tanggungjawab.

Demokrasi dan pilihan raya diiringi dengan sifat kepimpinan. Antara ciri kepimpinan ialah memenuhi keperluan rakyat, ahli dan pengundi mereka tanpa menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan negara. Mereka tidak wajar membelakangkan kepentingan negara dan rakyat. Mereka perlu bertindak menyatupadukan rakyat dari semasa ke semasa.

Sebaliknya kita berhadapan dengan situasi yang berbeza. Perkembangan sejak kebelakangan ini mencerminkan bahawa kita telah gagal mencapai matlamat akhir pilihan raya yang mewarnai amalan demokrasi.

Wakil rakyat dan aktor politik mengambil pendekatan berbeza dan bertentangan dengan semangat pengisian pilihan raya. Kita gagal. Wakil rakyat gagal. Ahli politik dan parti mereka gagal.

Dan, akhirnya pilihan raya telah gagal untuk melahirkan sebuah Malaysia yang stabil dan aman.

Proses pilihan raya memudaratkan lagi perpecahan dalam kalangan rakyat. Aktor politik dan parti politik seolah-olah hanya mahu mengutamakan kuasa dan jawatan bagi memenuhi keperluan diri berbanding kesejahteraan rakyat dan negara yang sewajarnya diutamakan.

Seolah-olah pilihan raya itu satu pembaziran meskipun ia merupakan komponen penting negara demokrasi. Platform pilihan raya telah berubah sebagai senjata memudaratkan negara, bukan sebaliknya.

Saya juga pasti anggota dewan perundangan yang dipilih dan pemimpin-pemimpin politik mereka tahu situasi sebenar dan kegagalan mereka pada hari ini.

Saya berharap dan yakin mereka akan berubah untuk menggunakan proses pilihan raya dan proses-proses yang seterusnya dengan membina demi menyatukan rakyat, dan membina sebuah negara yang lebih gemilang.

Ini harapan saya sempena ulang tahun sambutan Hari Kebangsaan. Mungkin ramai lagi akan bersetuju. Kita ada misi yang lebih besar untuk direalisasikan berbanding hanya kemenangan dan cakap-cakap mengenai bilangan kerusi pada hari pilihan raya.

Menang tak jadi arang, kalah tak jadi abu. Peribahasa relevan untuk direnung semua demi sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya. – 4 September, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen