Siapa yang nepotisme?


DINUKILKAN dalam riwayat, Saidina Umar Al Khattab (khalifah ke-2 Islam) melarang keras anaknya menjadi khalifah sesudahnya. Sikap ini adalah kerana beliau memahami tugas dan amanah seorang khalifah itu cukup berat dan institusi kekhalifahan bukan warisan.

Dalam konteks ‘politik’, kita boleh memahami bahawa di zaman itu sistem pemerintahan kekhalifahan adalah berdasarkan kewarakan seseorang, bukan sistem undi pilihan raya. 

Maka ruang untuk orang seperti Abdullah Ibn Umar menjadi khalifah (sungguhpun dia juga sahabat nabi yang warak), tetap tidak mudah apatah lagi ramai sahabat baginda yang lebih mulia, alim dan warak, masih hidup.

Ini berbeza dengan sistem politik moden yang mana undi menjadi kaedah untuk memilih pemimpin. Doktrin demokrasi membuka ruang luas kepada semua hatta kepada bekas banduan untuk bertanding dan menjadi pemimpin. 

Dalam konteks lantikan individu ke dalam institusi kerajaan yang diketuai oleh ahli keluarga, demokrasi memberi beberapa panduan. 

Sungguhpun gaji, elaun atau kelayakan seseorang ahli keluarga itu boleh dijustifikasikan, ia tetap berbeza kerana lantikan itu melibatkan institusi yang berkaitan langsung dengan kerajaan. Di sini, isu merit tidak timbul tetapi etika.

Dalam konteks ini, kita bercakap tentang institusi, maka apa itu institusi? 

Geoffrey M Hodgson, seorang profesor emeritus dalam Journal Economic Issues menyatakan bahawa “... institutions as systems of established and prevalent social rules that structure social interactions… ”. 

Bermaksud, institusi sebagai sistem aturan sosial yang mapan dan lazim yang menyusun interaksi sosial.

Memahami maksud ‘institusi’ yang dinyatakan ini, dengan jelas kita dapat memahami bahawa ia berkait langsung dengan urusan awam apatah lagi ia melibatkan institusi dalam kerajaan yang mana ia tak terpisah dengan isu integriti. 

Justeru, dalam situasi ini, bagaimana institusi awam atau kerajaan boleh diyakini dan dilihat berintegriti oleh penjawat awam dan rakyat (sosial) jika etika tidak diutamakan khususnya berkaitan elemen nepotisme dalam kepimpinan? 

Menolak sikap nepotisme bukan dengan hanya dengan retorik kata-kata tetapi menolak nepotisme perlu dilihat dilaksanakan. Itulah integriti dalam kepimpinan politik.

Begitu lama persepsi dijual merata-rata mendakwa Dr Mahathir Mohamad mahu menjadikan anaknya perdana menteri; semuanya kini lebur apabila Dr Mahathir sendiri keluar dari parti Pejuang. 

Kini, suka atau tidak, tiada siapa lagi boleh menuduh Dr Mahathir mengamalkan nepotisme. 

Jadi, siapa sebenarnya yang mengamalkan nepotisme? – 14 Februari 2023. 

* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen