Terrirudin bakal dilantik peguam negara ganti Idrus, kata sumber


K. Kabilan

Menurut sumber, Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Salleh dikatakan akan dilantik sebagai peguam negara bagi menggantikan Idrus Harun yang akan bersara 6 September ini. – Gambar Facebook, 1 September, 2023.

PEGUAM Cara Negara Ahmad Terrirudin Salleh dikatakan akan dilantik sebagai peguam negara bagi menggantikan Idrus Harun yang akan bersara.

Pelantikan Terrirudin akan diumum minggu depan, menurut sumber.

Idrus sedang bercuti sementara menunggu bersara pada 6 September ini, dan tugas beliau sebagai peguam negara dipangku sementara oleh Terrirudin.

“Sudah tentu Terrirudin akan dilantik jadi peguam negara baharu. Beliau akan mula tugas secara rasmi minggu depan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Terrirudin, 55, dilantik sebagai peguam cara negara pada Mac tahun lepas.

“Beliau memenuhi kelayakan untuk dilantik sebagai peguam negara seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambah sumber.

Di bawah Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai peguam negara bagi persekutuan. 

Idrus dilantik jadi peguam negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020 oleh perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin. Kontrak Idrus dilanjutkan selama setahun pada 6 Mac 2022.

Beliau kemudian dilantik semula sebagai peguam negara untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 6 Mac tahun ini.

Sumber berkata Peguam Negara Idrus Harun akan bersara 6 September ini. – Gambar Facebook, 1 September, 2023.

Media sebelum ini melaporkan beberapa hakim yang sedang berkhidmat dan sudah bersara dikhabarkan berada dalam senarai pendek untuk dipertimbang menggantikan Idrus.

Idrus merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Sekiranya Terrirudin dilantik sebagai peguam negara bermakna pelantikan dibuat dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.

Beliau bukan peguam cara negara pertama yang dilantik ke jawatan yang dianggap sebagai ‘kerusi panas’ itu.

Sebelum ini Abdul Kadir Yusof, peguam negara yang dilantik pada 1963, adalah bekas peguam cara negara.

Begitu juga Abu Talib Othman, merupakan peguam cara negara dari 1970 hingga 1980 sebelum menjawat jawatan peguam negara dari 1980 hingga 1993.

Manakala Engku Nor Faizah Engku Atek (peguam cara dari 2016-2010) memangku sementara tugas peguam negara dari 28 Februari 2020 hingga 6 Mac 2020, iaitu tempoh sebelum Idrus dilantik menggantikan Tommy Thomas yang meletak jawatan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang ekoran Langkah Sheraton. – 1 September, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen