Badan Peguam lulus usul tidak percaya terhadap Peguam Negara


Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara selama enam bulan berkuat kuasa 6 Mac. – Gambar Facebook, 10 Mei, 2023.

BADAN Peguam Malaysia meluluskan usul tidak percaya terhadap Peguam Negara (AG) Idrus Harun pada mesyuarat agung tergempar hari ini.

Free Malaysia Today melaporkan langkah ini adalah berikutan serangan yang didakwa terhadap hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali yang menjatuhkan hukuman penjara kepada bekas perdana menteri Najib Razak kerana rasuah dalam kes SRC International.

Presiden Bar Karen Cheah berkata mereka sedang melihat tempoh Idrus sebagai AG.

Cheah berkata pihaknya mempunyai “beberapa pilihan” langkah yang akan diambil sekiranya khidmat Idrus dilanjutkan lagi.

“Kita belum berada dalam keadaan di mana kita perlu putuskan pilihan yang akan kita ambil,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut.

Cheah berkata salinan usul itu akan diserah kepada 10 kementerian berkaitan bagi mengalakkan dan mempromosikan matlamat-matlamat yang ia perjuangkan.

Pada 5 Mac Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan semula Idrus sebagai AG selama enam bulan berkuat kuasa 6 Mac.

Badan Peguam Malaysia semasa mesyuarat juga diberi mandat untuk memberi notis kepada Peguam Negara untuk membawa prosiding penghinaan terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan ke atas badan kehakiman.

“Sekiranya peguam negara gagal berbuat demikian, Badan Peguam akan mempertimbangkan dan jika perlu, memulakan prosiding hina mahkamah atau sebarang prosiding atau tindakan yang seia dengan resolusi yang diluluskan mesyuarat.” katanya. 

Bulan lalu peguam kanan menggesa prosiding hina mahkamah terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab atas “serangan terhadap badan kehakiman”.

Mereka berkata demikian merujuk kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Nazlan.

Agensi anti rasuah itu membuat kesimpulan Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam kes SRC International melibatkan Najib.

Peguam-peguam itu berkata SPRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat kelakuan seorang hakim yang tertakluk di bawah Kod Etika Hakim.

Badan Peguam Malaysia juga berkata mereka kesal dengan tindakan SPRM mengeluarkan laporan itu serta masa dan cara ia dikeluarkan, dan kesimpulan yang didakwa terkandung di dalamnya, kerana ia “bukan dalam bidang kuasa SPRM”.

Mereka juga menegur Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said kerana didakwa menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Pada April SPRM berkata Nazlan yang mensabitkan Najib atas pelbagai pertuduhan rasuah kerana menyeleweng dana SRC International mempunyai konflik kepentingan dalam kes itu.

Azalina mengesahkan ini dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguamcara Najib, Shafee & Co.

Berdasarkan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari Azalina berkata Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

Shafee & Co menulis surat kepada Azalina pada 15 Mac bertanyakan sama ada SPRM mewujudkan konflik kepentingan dan jika ya, telah menulis surat kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan Nazlan dikenakan tindakan disiplin. – 10 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen