PUTRAJAYA akan melantik peguam negara baharu bagi menggantikan Idrus Harun, lapor The Star.
Laporan itu menyebut Idrus tidak akan menyambung kontrak perkhidmatannya yang tamat pada Mac depan.
Pelantikan peguam negara baharu akan dibuat dalam masa terdekat, dan tiga nama telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mengisi kekosongan jawatan itu, menurut The Star memetik sumber.
Tiga individu berkenaan adalah Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Kamaludin Md Said dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Kamaludin adalah hakim Mahkamah Rayuan yang bertanggungjawab dalam semakan kehakiman.
Ahmad Fairuz merupakan bekas timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi. Beliau kemudian disahkan sebagai hakim penuh Mahkamah Tinggi di bahagian komersial pada Mac lalu.
Manakala Wan Ahmad Farid pula adalah hakim Mahkamah Tinggi yang menarik diri daripada mendengar permohonan daripada mendengar permohonan peguam kanan dari United Kingdom Jonathan Laidlaw untuk mewakili bekas perdana menteri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Jun lalu.
Wan Ahmad Farid berkata penarikan itu mengelak kesangsian persepsi awam terhadap kebebasan badan kehakiman kerana seorang ahli keluarganya terbabit secara aktif dalam Umno. – 15 Disember, 2022.
Komen