.jpg)
SEJAK Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib Razak serta mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC), khasnya peguam negara, telah dihadapkan dengan beberapa serangan dan kecaman.
Bertalu-talu kritikan dibuat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana dikatakan gagal mengawal Peguam Negara Idrus Harun, sehingga menyebabkan Najib terus dimasukkan ke penjara pada hari itu juga.
Dikaitkan lantikan Idrus bagi tempoh dua tahun oleh perdana menteri dari Bersatu Muhyiddin Yassin pada 6 Mac 2020 menggantikan Tommy Thomas yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020, sebelum dilantik semula untuk tempoh setahun berkuat kuasa 6 Mac lalu.
Ini dijadikan ‘bukti’ bahawa Idrus kononnya mempunyai agenda lain atau beliau bertuankan kepada Muhyiddin yang kononnya mempunyai agenda lain, sekali gus Ismail Sabri disalahkan kerana tidak menukar Idrus sebaik menjadi perdana menteri pada 21 Ogos 2021.
Perlu diingat, kerajaan Ismail Sabri adalah penerusan kepada kerajaan Muhyiddin. Komposisi parti-parti yang membentuk Jemaah Menteri masih sama, iaitu, Bersatu, PAS, Umno, MCA, MIC, GPS dan GRS; hanya perdana menteri sahaja yang berubah.
Idrus sendiri bukanlah lantikan dari luar seperti Tommy, tetapi beliau seorang yang tidak boleh dipertikai profesionalismenya kerana pernah menjadi hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, peguam cara negara dan timbalan pendakwa raya.
Sepanjang menjadi peguam negara di bawah pentadbiran Muhyiddin dan Ismail Sabri, tidak ada keputusan dan tindakan Idrus yang tidak selari dengan hasrat kerajaan, yang bercanggah dengan kepentingan negara atau yang menimbulkan kontroversi besar.
Beliau sendiri secara peribadi bukanlah seorang yang diketahui sukakan publisiti sebaliknya hanya tekun bekerja tanpa mencari kredit walaupun dalam tempoh beliau menjadi peguam negara banyak sekali kerja belakang tabir yang dibuat untuk kepentingan negara.
Pihak-pihak yang menyalahkan beliau kerana dikatakan menyebabkan Najib terus dimasukkan ke penjara pada 23 Ogos perlu mengawal emosi mereka, dan sebaliknya meneliti secara objektif dan rasional apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan pada hari itu.
Amat tidak benar sama sekali tuduhan yang menyatakan bahawa AGC tidak bersetuju dengan permohonan peguam Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan beliau, kerana permohonan begini tidak pun dibuat oleh peguam Najib pada hari itu.
Sebaliknya, apa yang berlaku ialah peguam Najib telah memfailkan permohonan notis usul supaya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar dan/atau membuat apa-apa keputusan berkenaan dengan rayuan.
Peguam Najib turut memaklumkan bahawa Muhammad Shafee Abdullah akan hadir untuk turut berhujah berkenaan permohonan untuk Tengku Maimun menarik diri dan oleh itu beliau memohon agar persidangan mahkamah ditangguhkan sebentar.
Namun begitu, Tengku Maimun mengarahkan supaya peguam Najib meneruskan hujahan dan akan disambung oleh Shafee setelah beliau tiba, tetapi setelah Shafee tiba beliau memohon kepada mahkamah untuk membenarkan penangguhan sehingga pagi esoknya untuk membuat persediaan.
Permohonan penangguhan ini tidak dibenarkan oleh Tengku Maimun yang berpendapat apabila permohonan notis usul ini difailkan peguam Najib sepatutnya telah bersedia untuk berhujah berkenaan permohonan notis usul ini.
Setelah Mahkamah menolak permohonan notis usul ini, peguam Najib pun memohon kebenaran mahkamah untuk Najib diberikan peluang untuk menyatakan sesuatu kepada mahkamah, dan selepas Najib berbuat demikian terus sahaja mahkamah membacakan keputusan rayuan utama.
Oleh itu, amatlah tidak kena jika AGC disalahkan kerana dikatakan menyebabkan Najib terus dimasukkan ke penjara pada 23 Ogos, atau Ismail Sabri disalahkan kerana dikatakan gagal mengawal peguam negara kerana Idrus tidak menyumbang apa-apa pun kepadanya.
Satu lagi isu yang menyebabkan AGC, khasnya Idrus, diserang dan dikecam adalah kerana kewujudan satu surat yang ditulis oleh salah seorang timbalan pendakwa raya yang mengendalikan pendakwaan ke atas kes-kes Ahmad Zahid Hamidi pada 29 Ogos lalu.
Surat ini yang meminta supaya kes-kes Zahid, yang kini berada di peringkat pembelaan, lebih diutamakan berbanding kes-kes 1MDB membabitkan Najib yang masih berada di peringkat pendakwaan ini dispekulasikan sebagai cubaan senyap-senyap AGC, kononnya di bawah arahan Ismail Sabri, untuk melihat Zahid dimasukkan ke penjara secepat mungkin.
Sebenarnya, sesiapa yang faham mengenai urus tadbir mahkamah akan mengetahui bahawa tiada apa yang sulit di dalam permintaan ini kerana ia dibuat secara terbuka dan secara bertulis kepada mahkamah selain turut diserahkan kepada peguam Zahid.
Permintaan ini hanyalah bersifat administratif dan lazim dibuat dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan awam. Ia juga tertakluk kepada persetujuan hakim kerana hakim mempunyai budi bicara bersetuju atau tidak dengan permintaan ini.
Menjadi satu kelaziman bahawa perbicaraan di peringkat pembelaan memakan masa lebih singkat berbanding perbicaraan di peringkat pendakwaan dan ia akan diutamakan, malah sering terjadi kes-kes di peringkat pendakwaan dilapangkan bagi memberi laluan kepada kes-kes di peringkat pembelaan.
Mengutamakan kes-kes yang kini berada di peringkat pembelaan sekadar rutin biasa untuk mempercepatkan pelupusan kes-kes, apa lagi bila sudah sekian banyak penangguhan dibuat ke atasnya, dan ia tidak semestinya akan berakhir dengan tertuduh disabitkan kesalahan.
Permohonan ini juga telah ditarik balik, maka tidak sepatutnya perkara rutin yang bersifat administratif begini boleh dijadikan isu untuk menggesa Idrus meletak jawatan.
Tegasnya, semua pihak perlu meneliti isu-isu perundangan khasnya yang menyentuh peranan AGC dan kedudukan peguam negara secara rasional dan tidak dibuai oleh gelombang emosi semata. – 1 September, 2022.
* Faidhur Rahman Abdul Hadi, peguam bela dan peguam cara.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen