3 pertuduhan terima wang haram dihadapi Muhyiddin kekal, kata peguam AG


Muhyiddin Yassin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2023.

TIGA lagi pertuduhan dihadapi bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih kekal, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Idrus, dalam kenyataan hari ini berkata kes itu akan disebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 September ini.

Bagi pertuduhan di bawah AMLATFPUAA, pengerusi Perikatan Nasional itu berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Sementara itu, Idrus berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

“Pihak pendakwaan juga ingin menjelaskan permohonan yang diputuskan oleh mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Idrus berkata demikian ketika merujuk keputusan Hakim Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan Muhyiddin membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat itu.

Bagi empat pertuduhan itu, Muhyiddin, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti itu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen