Hak Majlis Peguam lulus usul tidak percaya terhadap Idrus, kata Azalina


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan mesti terbuka dalam menerima kritikan rakyat ataupun badan profesional seperti Majlis Peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei 2023.

TINDAKAN Majlis Peguam meluluskan usul tidak percaya terhadap Peguam Negara Idrus Harun merupakan hak badan peguam berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Justeru, beliau berkata kerajaan mesti terbuka dalam menerima kritikan rakyat ataupun badan profesional seperti badan peguam itu.

“(Malaysia) negara bebas. Saya, tak ada apa. Pada saya, hak masing-masing, persatuanlah. Kalau mereka percaya tu, percaya itulah, nak buat macam mana.

“Pada saya, kerajaan Malaysia Madani adalah kerajaan yang mengamalkan demokrasi dan kita mesti terbuka menerima kritikan daripada rakyat ataupun badan-badan profesional,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dewan Kejora Bandar Penawar, di Kota Tinggi hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata kerajaan Madani mestilah menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan menekankan kepada aspek ketelusan dan akauntabiliti.

Azalina berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan badan peguam itu yang meluluskan usul tidak percaya terhadap Idrus ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), dua hari lepas.

Pada EGM yang diadakan 10 Mei itu, Majlis Peguam dilaporkan meluluskan usul berkenaan atas alasan peguam negara gagal mempertahankan badan kehakiman serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Mengikut laporan media, dengan usul berkenaan ia turut memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk memberikan notis kepada Idrus untuk membawa prosiding menghina mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan terhadap badan kehakiman, dengan serta-merta. – Bernama, 12 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen