SEORANG lelaki yang menjadi sensasi awal di internet selepas BBC secara tidak sengaja menemu bualnya secara langsung, berkata beliau merancang untuk menyaman syarikat tersebut atas kehilangan pendapatan dari klip video tersebut, dilaporkan oleh Agensi Berita Jerman (dpa).
Guy Goma hadir di ibu pejabat perbadanan itu untuk temu duga kerja pada 2006, tetapi apabila beliau tiba, lelaki itu sebaliknya ditemu bual di BBC News Channel mengenai muat turun muzik internet.
Beliau telah disalah anggap sebagai wartawan teknologi Guy Kewney, yang telah dijemput untuk bercakap tentang pertikaian undang-undang antara Apple Corps dan Apple Computers.
Kesilapan itu telah ditonton lebih daripada lima juta kali di saluran YouTube penyiar awam itu tetapi Goma memberitahu sebuah podcast beliau tidak menerima sebarang royalti daripada temu bual itu.
Beliau memberitahu podcast Accidental Celebrities: “Saya menghubungi mereka, mereka tidak menjawab (panggilan) saya. Adakah mereka membayar saya untuk temuduga itu? Tidak.
“Mereka sedang menunggu saya untuk membawa mereka ke mahkamah.”
Apabila ditanya oleh hos Josh Pieters dan Archie Manners sama ada beliau berhasrat untuk pergi ke mahkamah menuntut haknya terhadap perbadanan itu, beliau menjawab: “Saya akan pergi… kerana wang yang mereka buat dan mereka tidak memberi saya satu sen pun. ”
Beliau menambah bahawa BBC telah menggunakan klip itu selama 17 tahun dengan “tiada sesen pun kepada saya”, kemudian menambah “klip itu menjadikan mereka lebih kaya”.
BBC bagaimanapun enggan mengulas. – Bernama, 29 Ogos 2023.
Komen