Orang ramai digesa henti kongsi gambar, video mangsa nahas pesawat


SKMM menggesa semua pihak untuk menjaga sensitiviti serta mengelak daripada berkongsi gambar dan video mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam. – Gambar AFP, 18 Ogos 2023.

TINDAKAN undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang melakukan perkongsian gambar atau video mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini berkata pihak yang melakukan perkongsian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Perkongsian gambar atau rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas,” kata SKMM yang turut menggesa semua pihak untuk menjaga sensitiviti serta mengelak daripada berkongsi gambar mangsa nahas.

Menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa nahas pesawat itu, SKMM berkata semua pihak diminta  membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan. 

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun maut. 

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang. – Bernama, 18 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen