Pakistan minta Google, Apple keluarkan 120 aplikasi pinjaman haram


Selain Apple, Pakistan meminta Google mengeluarkan 120 aplikasi pinjaman peribadi haram dari apps store platform itu. – Gambar EPA, 18 Ogos 2023.

PAKISTAN meminta Google dan Apple supaya mengeluarkan 120 aplikasi pinjaman peribadi haram dari apps store masing-masing, menurut kenyataan rasmi pada Rabu.

Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Pakistan (SECP) berkata SECP bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan bagi memastikan Google dan Apple mengeluarkan aplikasi tersebut untuk melindungi rakyat Pakistan daripada diperdaya dan terjebak dalam perangkap hutang, lapor Xinhua.

“Fenomena aplikasi pinjaman peribadi haram muncul baru-baru ini dan mencetuskan kebimbangan mengenai pelanggaran privasi data dan amalan mendapatkan semula hutang secara paksa,” menurut SECP yang telah mengetatkan rangka kerja kawal selia selain memulakan langkah praktikal berkaitan amalan tersebut bersama pihak berkuasa yang berkaitan.

Kerajaan Pakistan mula bertindak terhadap aplikasi pinjaman dalam talian itu selepas seorang penganggur yang juga bapa kepada dua anak, membunuh diri di bandar Rawalpindi pada Julai lepas akibat tekanan daripada pemberi pinjaman supaya dia membayar balik kira-kira satu juta rupee.

SECP juga telah meminta Google dan Apple hanya membenarkan aplikasi itu di apps store mereka untuk dimuat turun di Pakistan selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negara itu.

Minggu lepas, SECP memperkenal peraturan baharu untuk mengawal selia aplikasi dalam talian dengan mengehadkan jumlah pinjaman kepada 25,000 rupee daripada satu aplikasi dan 75,000 rupee daripada pelbagai aplikasi untuk tempoh maksimum 90 hari. (1 dolar AS bersamaan dengan 294.8 rupee Pakistan). – Bernama, 18 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen