JUMLAH individu yang cedera dalam letupan di sebuah stesen gas di bandar Crevedia di Romania pada Sabtu mencecah 57 orang, kata inspektorat jeneral bagi situasi kecemasan Romania pada Ahad, lapor agensi berita Sputnik.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Romania berkata seorang maut manakala 46 cedera dalam letupan itu.
“Di bandar Crevedia, daerah Dambovita, berlaku beberapa letupan di stesen pengisian gas petroleum cecair (LPG), mencederakan 58 orang, seorang daripadanya meninggal dunia (serangan jantung, tiada melecur),” kata jabatan itu di media sosial.
Antara yang cedera 43 kakitangan Kementerian Dalam Negeri, dengan 39 orang daripadanya anggota bomba, dua pegawai polis dan dua lagi anggota polis, jelas jabatan itu sambil menyatakan sekurang-kurangnya 54 orang dimasukkan ke hospital.
Pada Sabtu, satu letupan berlaku di sebuah stesen gas di Crevedia sekitar 7.30 malam waktu tempatan (16:30 GMT).
Di sebalik usaha anggota bomba, api merebak ke tangki gas lain, mencetuskan beberapa lagi letupan. Pasukan penyelamat memindahkan lebih 3,000 orang dari zon bahaya dengan radius 700 meter.
Unit antikrisis ditubuhkan dan pakar dari kementerian alam sekitar dibawa masuk untuk memantau kualiti udara. – Bernama, 27 Ogos, 2023.
Komen